TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Bicara Alumni Premier Semarak Kepimpinan dan Integriti Mahasiswa USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 26 September 2026 – Bagi melengkapkan hari terakhir Minggu Siswa Lestari mahasiswa baharu Sidang Akademik 2026/2027, USM terus memperkukuh pembentukan mahasiswa berintegriti dan berjiwa kepimpinan menerusi program Bicara Alumni Premier: Kepimpinan dan Integriti bersama Profesor Dr. Yusril Ihza Mahendra, Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Republik Indonesia.

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Bicara Alumni Premier USM merupakan salah satu daripda program teras di bawah inisiatif Alumni Back to Campus 2026 yang dirangka bagi mengajak para alumni untuk kembali ke alma mater, menghidupkan semula kenangan yang pernah tercipta sepanjang berada di kampus.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM berkata bahawa, integriti bukan sekadar nilai yang diperlukan apabila seseorang bergelar pemimpin, sebaliknya perlu dipupuk dan dibentuk sejak menjadi mahasiswa.

“Universiti bukan hanya tempat untuk memperoleh ilmu, tetapi tempat untuk membentuk manusia yang mempunyai ilmu, berintergriti, dan keberanian untuk membawa perubahan.,” ujar beliau.

Berkonsepkan dialog bicara, sesi tersebut dikendalikan oleh Saudara Azfar Al-Hafiz Azman, YDP MPP USM selaku moderator, yang mengemukakan pelbagai persoalan kepada Profesor Dr. Yusril berkaitan kepimpinan, integriti dan pengalaman beliau dalam dunia pentadbiran, selain membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengajukan pertanyaan dan berinteraksi secara langsung dalam suasana dialog yang lebih dekat dan terbuka.

Turut hadir ialah Bapak Wanton Saragih Sidauruk, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Encik Mohd Ali Mohd Salleh, Ahli Lembaga Gabenor USM, Dr. Yusron Ihza Mahendra, mantan Duta Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia ke Jepun, pegawai-pegawai utama universiti serta tetamu kenamaan lain.

Penganjuran Bicara Alumni Premier ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkayakan pengalaman mahasiswa melalui perkongsian tokoh dan jaringan alumni, sekali gus menyemarakkan budaya kepimpinan berteraskan integriti dalam usaha melahirkan graduan yang berprinsip, berwawasan dan mampu memberi nilai kepada masyarakat.