Skip to main content

G1

Zakat Dermawan Alumni USM Fasa II Gembirakan 250 Mahasiswa Berpendapatan Rendah

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Tuan Haji Abu Samah Haji Samsuri (empat dari kanan) dan barisan dermawan alumni bergambar bersama pelajar di Dewan Pembangunan Siswa 2.
USM PULAU PINANG, 26 Jun 2026 – Zakat Dermawan Alumni USM dan Rakan-Rakan Fasa II yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa, menjadi manifestasi komitmen berterusan alumni Universiti Sains Malaysia dalam memperkasa kebajikan mahasiswa dan membantu pelajar yang memerlukan.

Meneruskan momentum pemberian Fasa I, seramai 250 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di bawah kategori kemiskinan tegar beragama Islam, aktif dalam pengajian serta tidak menerima sebarang bantuan kewangan lain telah dipilih sebagai penerima manfaat, dengan setiap pelajar menerima sumbangan tunai sebanyak RM400 melibatkan jumlah agihan keseluruhan RM100,000 hasil sumbangan para dermawan alumni.

Mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, berkata bahawa sumbangan para dermawan bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan mahasiswa, malah menyuntik inspirasi dan keyakinan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian.

"Manfaatkanlah bantuan yang diterima ini sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan pengajian dan kehidupan di kampus, seterusnya menjadikannya pemangkin untuk terus melangkah maju dan mencapai kecemerlangan dalam pengajian.," katanya.

Sementara itu, Tuan Haji Abu Samah Haji Samsuri, Penyelaras Majlis Bantuan Zakat Dermawan Alumni dan Rakan-Rakan kepada Pelajar USM, mengingatkan para pelajar agar sentiasa menghargai masa kerana setiap usaha dan keputusan yang dilakukan pada hari ini akan menentukan kejayaan pada masa hadapan.

"Masa merupakan aset yang tidak ternilai, justeru setiap detik perlu dimanfaatkan dengan penuh disiplin, komitmen dan kesungguhan kerana kejayaan masa depan dibina daripada usaha yang dilakukan pada hari ini."

Majlis turut dihadiri oleh barisan para dermawan iaitu Encik Ahmad Feeza Othman dan isteri, Puan Noorhayati Kamaruddin, serta Puan Hajah Raden Roro Prima Dewi.

Turut hadir mewakili barisan pengurusan USM ialah Profesor Madya Dr. Azhar Abdul Rahman, Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik, pegawai BHEPA dan MPP USM.

Usaha berterusan ini membuktikan bahawa jaringan alumni USM kekal utuh sebagai pemangkin kebajikan mahasiswa, dalam memastikan setiap pelajar berpeluang melangkah maju tanpa dibebani kekangan kewangan.