Alumni
Alumni PALAPES 1986 USM Teruskan Legasi : RM15,000 Disalurkan Bantu Pelajar Memerlukan
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya (sepuluh dari kanan) bergambar bersama alumni PALAPES USM 1986.
USM PULAU PINANG, 27 Jun 2026 – Seramai 53 alumni Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Sains Malaysia (PALAPES USM) tahun 1986 berkumpul dalam satu majlis nostalgia bagi mengimbau memori perjuangan serta memperkukuh silaturahim yang terjalin sejak empat dekad lalu.
Majlis bertemakan "Empat Dekad Nostalgia Persahabatan" di Dewan Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni USM itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM15,000 daripada alumni PALAPES 1986 kepada universiti.
Dana tersebut disalurkan khusus bagi membantu kebajikan pelajar yang memerlukan, sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan alumni.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang alumni PALAPES 1986 dalam pelbagai sektor, termasuk awam, swasta, profesional, keusahawanan, serta perkhidmatan ketenteraan.
Dana tersebut disalurkan khusus bagi membantu kebajikan pelajar yang memerlukan, sekali gus mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan alumni.
“Keberhasilan anda adalah bukti kualiti graduan USM yang memiliki jati diri yang tinggi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Gabenor USM, Encik Mohd Ali Mohd Salleh, menekankan bahawa kejayaan alumni merupakan kayu ukur kepada kemajuan universiti.
“Sumbangan dalam bentuk pementoran, jaringan profesional, serta sokongan kewangan seperti yang diberikan hari ini merupakan aset yang amat bernilai bagi pembangunan ekosistem pendidikan di USM,” ujarnya.
Bagi memastikan legasi ini terus mekar, Pusat Pembangunan Alumni (ADC) BHEPA kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik.
Usaha ini bertujuan mempererat hubungan dengan alumni melalui program pementoran, perkongsian kepakaran, serta pengukuhan rangkaian alumni di peringkat nasional dan antarabangsa untuk manfaat generasi akan datang.
Majlis turut dihadiri oleh Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim Timbalan Komandan PALAPES USM, Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman Presiden, Persatuan Alumni USM, pegawai-pegawai utama universiti, jurulatih dan mantan-mantan jurulatih PALAPES USM.