TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

ANCHOR : MPDR Menghubung Ilmu, Memperkasa Komuniti

Oleh : Sekretariat ANCHOR
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 17 Ogos 2026 – Kecemerlangan akademik bukan sekadar diterjemahkan melalui pencapaian di dalam bilik darjah, malah turut dizahirkan menerusi penglibatan mahasiswa bersama masyarakat melalui pemindahan ilmu dan khidmat komuniti.

Berteraskan aspirasi tersebut, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) melalui Exco Akademik dan Pembangunan Bakat memperkenalkan Academic Network for Community & High Impact Outreach (ANCHOR), sebuah inisiatif yang menghubungkan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dengan komuniti Kampung Pulau Tuba, Langkawi pada 11 hingga 14 Ogos 2026 baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada konsep “anchor” atau sauh, ANCHOR berperanan sebagai penghubung antara ilmu, mahasiswa dan masyarakat menerusi pemindahan ilmu, khidmat komuniti serta pembangunan masyarakat yang melibatkan 24 orang mahasiswa USM di bawah pimpinan Penasihat, Dr. Wan Norhaniza Wan Hasan, bagi memperkasa kesejahteraan sosioekonomi komuniti Pulau Tuba, di samping membuka ruang kepada mahasiswa menerjemahkan ilmu dan pengetahuan dalam situasi sebenar.

ANCHOR 3

ANCHOR 4

Selaku Pengarah projek, Mohammad Danish Fitri Mohamad Nasrul menjelaskan bahawa pemilihan konsep “anchor” atau sauh melambangkan peranan ANCHOR sebagai pemberat dan panduan dalam memperkasa komuniti Pulau Tuba agar terus berkembang, berdaya tahan dan bergerak seiring arus pemodenan serta perubahan zaman.

Sebanyak tujuh pengisian utama digerakkan menerusi ANCHOR, merangkumi ANCHOR English’s Kit yang memperkasa penguasaan bahasa Inggeris, Painting A Thousand Memories melalui penghasilan mural di Tadika KEMAS Pulau Tuba, Medical Check-Up bagi meningkatkan kesedaran kesihatan, Cyber Shield yang menyemai literasi keselamatan digital, Games On Kampung Edition yang menghidupkan kembali sukan rakyat, BerToBizz-ToBizz yang membuka ruang penerokaan potensi keusahawanan tempatan serta Lost in Langkawi yang menyelami warisan, sejarah dan khazanah ekopelancongan Pulau Tuba.

Lebih daripada sekadar sebuah program kesukarelawanan, ANCHOR digerakkan menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi menghasilkan impak yang berterusan kepada komuniti, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti.

Melalui ANCHOR, ilmu tidak lagi terhenti di ruang akademik, sebaliknya diolah menjadi khidmat, tindakan dan impak yang dirasai masyarakat, selari dengan aspirasi Students for Society (S4S) melalui teras Khidmat Sosial dalam membudayakan penglibatan mahasiswa di lapangan sebagai pemangkin perubahan dan pemerkasaan komuniti.