Skip to main content

G11

Komponen Generik MyCSD : Khidmat Masyarakat

MESRA: Satukan Kepelbagaian, Perkasa Komuniti Luar Bandar

Oleh : Majlis Penghuni Desasiswa Restu
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 15 Jun 2026 – Semangat perpaduan dan kesukarelawanan terus disemarakkan menerusi penganjuran Program Multicultural Exchange and Service for Rural Area (MESRA) oleh Exco Kebudayaan dan Integriti Perpaduan, Majlis Penghuni Desasiswa Restu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang pada 12 hingga 14 Jun 2026.

Program yang melibatkan seramai 58 orang peserta dan 20 orang sekretariat ini menjadi wadah kepada mahasiswa untuk mendekati komuniti luar bandar sambil memperkukuh pemahaman silang budaya, menyemai nilai kemanusiaan serta menggalakkan perkongsian ilmu melalui pendekatan pendidikan tidak formal dan interaksi dua hala yang bermakna.

Dr. Lim Chee Ann, Penggawa Desasiswa Restu berkata bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti dan mempunyai kepekaan terhadap keperluan masyarakat.

Pengarah Projek, Nurul Izzati Zamri menyifatkan MESRA bukan sekadar platform khidmat masyarakat, malah berfungsi sebagai medium yang boleh merapatkan jurang antara mahasiswa dan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti yang dapat memupuk persefahaman, kerjasama dan semangat kebersamaan.

Dengan sokongan padu daripada wakil SMK Satak, Cikgu Nurul Fathul Ima, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi menggalakkan pertukaran budaya, perkongsian pengalaman dan pembinaan hubungan yang lebih erat bersama warga sekolah serta komuniti sekitar,

Mengangkat agenda SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta Student for Society (S4S) melalui teras Advokasi dan Kepimpinan, program MESRA menjadi wadah pemerkasaan komuniti luar bandar yang menghubungkan mahasiswa dan masyarakat menerusi nilai perpaduan, kesukarelawanan dan pembangunan sosial.

Sebagai wadah yang menyatukan kepelbagaian budaya dan semangat kesukarelawanan, MESRA bukan sahaja memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti, malah menyemai nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni, inklusif dan berdaya tahan.