TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Unit Kaunseling USM Kongsi Kepakaran Psikososial dalam Kempen Anti-Buli

Oleh : Unit Kaunseling BHEPA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Pulau Pinang, 16 November 2026 – Unit Kaunseling, BHEPA USM terus menjadi rujukan kepakaran psikososial komuniti menerusi penglibatan dalam Kempen Kesedaran Anti-Buli “Speak Up, Be Brave” di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier.

Penglibatan tersebut menyaksikan Kaunselor Pelatih Unit Kaunseling USM, Cik Nurul Aida Batrisya Hussin tampil sebagai ahli panel menerusi sesi podcast bertajuk “Break the Silence” bersama Pegawai Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang, Encik Mohd Hamdan Syatri Ab Halim bagi mengupas strategi pencegahan buli dan peranan sokongan psikososial kepada mangsa.

Kempen yang digagaskan sebagai Projek Tahun Akhir oleh 23 orang pelajar Tahun 3 di bawah bimbingan Dr. Ng See Kee dari Pusat Pengajian Komunikasi USM ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai ancaman buli di samping memupuk keberanian mereka untuk bersuara serta bertindak secara selamat.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Psikologi Unit Kaunseling USM, Encik Mohammad Zafran Mohd Rafai bersama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Hal Ehwal Murid), Cik Siti Noor Faridah Mohd Termizi.

Menghimpunkan sinergi strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, AADK Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, dan pihak sekolah, program ini menyemarakkan penglibatan murid menerusi aktiviti Spektrum Kemanusiaan (Human Spectrum), Gurauan atau Menyakiti? (Joke or Hurt?), pertandingan poster bertemakan “Tindakan Kecil, Perubahan Besar”, Sampaikan Keberanian (Pass the Courage), serta reruai interaktif.

Penglibatan aktif Unit Kaunseling USM ini menzahirkan kepercayaan komuniti terhadap peranan universiti dalam memperkasa pendidikan pencegahan, meningkatkan literasi kesihatan mental, dan meluaskan khidmat sokongan psikologi seiring dengan matlamat SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) demi menyuburkan empati dan membina ruang pembelajaran yang selamat serta bebas buli untuk setiap pelajar berkembang dengan yakin.