TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Sinergi USM-SMJK Heng Ee Perkukuh Kesejahteraan Psikososial Pelajar

Oleh : Unit Kaunseling BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 18 November 2026 – Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni dengan kerjasama Kelab Pembimbing Rakan Siswa (KPRS) Universiti Sains Malaysia hari ini menerima kehadiran seramai 79 orang pemimpin muda Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee menerusi program Lawatan Sambil Belajar ke USM.

Inisiatif ini dirangka khusus bagi melonjakkan daya kepimpinan, kemahiran komunikasi interpersonal, serta keyakinan diri dalam kalangan barisan PRS agar lebih bersedia menggalas tanggungjawab sebagai rakan pembimbing yang proaktif di sekolah.

Mewakili USM, Ketua Penolong Pendaftar (Kaunselor Pelajar) Unit Kaunseling BHEPA, Puan Raja Salwati Raja Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian delegasi sekolah mengadakan kunjungan ini.
Beliau juga menyifatkan penganjuran program sebegini sebagai platform strategik bagi mendedahkan pelajar kepada persekitaran kampus di samping memupuk nilai empati serta kematangan emosi dalam membantu rakan sebaya.

Turut bersama mengiringi delegasi pelajar dalam program ini ialah Guru Bimbingan dan Kaunseling SMJK Heng Ee, Puan Siti Hajar Sabariah Kadri serta lapan orang guru pengiring.

Mengisi jadual lawatan di Galeri Arkeologi USM, para peserta didedahkan dengan peranan hakiki mereka menerusi sesi perkongsian interaktif bertajuk "Peranan PRS dalam Membina Sokongan dan Kesejahteraan Rakan Sebaya" yang dikendalikan sepenuhnya oleh barisan fasilitator KPRS USM sebelum meneroka khazanah sejarah di galeri berkenaan.

Bagi menguji ketangkasan minda KPRS USM turut mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan menerusi Pictionary yang mengasah ketajaman komunikasi ketua kumpulan, Sing The Word yang mencetuskan keberanian spontan, dan Charades yang melatih empati serta seni komunikasi bukan lisan sebelum delegasi bergerak menyusuri keunikan seni dan warisan di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM.

Inisiatif ini menjadi pemangkin kepada usaha melestarikan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan dalam memperkasakan barisan PRS sebagai ejen sokongan psikososial dan kesihatan mental rakan sebaya di sekolah, di samping memperkukuh SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat menerusi jalinan kolaborasi strategik berterusan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.