TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kebajikan

Unit Kaunseling BHEPA USM Perluas Jaringan, Santuni Kesejahteraan Warga Kerja

Oleh : Unit Kaunseling BHEPA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 9 September 2026 – Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh agenda kesejahteraan warga kerja menerusi Program Minda OK: “Kerja Banyak… Hidup Tenang – Seni Mengurus Tekanan dan Emosi di Tempat Kerja” yang berlangsung di Dewan Sri Pinang.

Program yang berlangsung kelmarin berjaya menghimpunkan 78 pegawai dan staf Pejabat SUK serta agensi awam di Pulau Pinang, dengan Encik Ahmad Anwar bin Omar, Ketua Pegawai Psikologi BHEPA USM, tampil sebagai Penceramah Jemputan Khas bagi berkongsi pendekatan psikologi dalam membantu peserta menangani tekanan dan mengurus emosi secara lebih berkesan di tempat kerja.

Menerusi pendekatan santai, interaktif dan berasaskan pengalaman, peserta dibimbing mengenal pasti tahap kesejahteraan diri, memahami keletihan fizikal, mental dan emosi serta mengurus cabaran seperti beban kerja, konflik, tekanan masa dan overthinking melalui pendekatan Circle of Control serta strategi Stop → Semak → Pilih.
Pengisian turut menyentuh kesan penggunaan media sosial seperti scrolling fatigue, overstimulation dan dopamine trap, selain aktiviti kreatif “Ayuh Bina Semula Diri” yang memberi ruang kepada peserta meneroka kekuatan diri, cabaran serta strategi daya tindak bagi membina keseimbangan emosi dan kehidupan.

Kerjasama ini menyerlahkan peranan strategik Unit Kaunseling BHEPA USM dalam membawa kepakaran psikologi ke luar lingkungan kampus untuk dimanfaatkan organisasi dan komuniti, sekali gus memperkukuh jaringan profesional bersama agensi kerajaan negeri dalam memperkasa inisiatif kesejahteraan warga kerja.

Inisiatif tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui usaha memperkukuh kesedaran terhadap kesihatan mental, kesejahteraan psikologi dan keseimbangan kehidupan, selaras dengan aspirasi USM untuk memperluas impak ilmu dan kepakaran demi kesejahteraan masyarakat.