SDG 17 : Perkongsian Untuk Matlamat
Terapi Muzik & Selawat Warnai Bulan Kaunseling Kebangsaan di USM
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 17 Oktober 2026 – Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Kaunseling BHEPA telah menganjurkan Program USM Berselawat: Terapi Kaunseling Melalui Muzik bertempat di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM.
Program yang dihadiri lebih 200 orang pelajar dan warga kampus ini diadakan sempena malam kemuncak Ihtifal Semarak Cinta Rasul yang berlangsung selama tiga hari, sekali gus menyemarakkan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan peringkat USM.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan mental dan emosi mahasiswa menerusi gabungan penghayatan selawat, qasidah, serta pengisian kerohanian sebagai medium menyemai ketenangan jiwa.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.
Beliau menyeru mahasiswa agar menjadikan pengisian program sebagai pedoman dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membentuk akhlak mulia, menjadikan ilmu sebagai panduan, serta memelihara kesejahteraan mental diri dan orang sekeliling.
“Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui pembentukan peribadi yang unggul, manakala penguasaan ilmu dan kesedaran terhadap kesejahteraan mental harus menjadi asas dalam membuat keputusan serta membina kehidupan yang lebih seimbang,” ujar beliau.
Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari pula berkata, kecemerlangan mahasiswa tidak seharusnya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan keimanan, keteguhan akhlak, amalan yang baik, serta adab dalam pergaulan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek dan kerohanian.
Bagi mengimarahkan malam kemuncak, pelbagai pengisian menarik telah dijalankan antaranya termasuk sesi perkongsian alumni oleh Timbalan Presiden Persatuan Alumni USM, Cikgu Mohd Shukor Saleh, serta tausiah oleh penceramah jemputan, Ustaz Dr. Ashraff Amirul yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung MPP USM, Muhammad Nazmiuddin Mohamad Nasir.
Suasana program turut diserikan dengan alunan qasidah daripada Kumpulan Qasidah Fattabiouni bersama Ustaz Sharofi dan Gus Husaini.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkasa kesejahteraan mental dan emosi mahasiswa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat).
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Pusat Islam USM merangkap Pengarah Program Ihtifal Semarak Cinta Rasul, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin; Ketua Unit Kaunseling BHEPA USM, Puan Raja Salwati Raja Othman; Ketua Pegawai Psikologi BHEPA USM merangkap Ketua Penyelaras Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat BHEPA, Encik Ahmad Anwar Omar; serta barisan pegawai Pusat Islam, BHEPA, dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).