Skip to main content
Kepimpinan

Kerjasama Strategik Unit Kaunseling BHEPA USM Perkasa Literasi Digital Melalui Program Sekolah Angkat MADANI

Oleh : Unit Kaunseling BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 8 Ogos 2026 – Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi penglibatan dalam Program Sekolah Angkat MADANI KKR Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Sekolah Menengah Kebangsaan, Penanti sebagai usaha memperkasa literasi digital, kesejahteraan psikologi dan pembangunan sahsiah generasi muda.

Sekolah Angkat MADANI merupakan sebuah inisiatif strategik di bawah Agenda Malaysia MADANI yang memadankan kementerian, agensi kerajaan, dan sektor swasta dengan institusi pendidikan. Program ini bertujuan membantu sekolah yang memerlukan, khususnya di luar bandar, untuk menaik taraf kemudahan asas, menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif, dan memperkasa pembangunan sahsiah serta akademik murid.

Sebagai antara pengisian utama program, Ketua Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM, Encik Ahmad Anwar Omar, telah dijemput menyampaikan ceramah bertajuk Boleh dan Tidak Boleh Dalam Media Sosial (The Do’s and Don’ts of Social Media) yang mengupas secara interaktif aspek etika penggunaan media sosial, pembentukan jejak digital positif, keselamatan siber, komunikasi berhemah serta kesan media sosial terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi.

Intipati yang dikongsikan bukan sahaja membuka minda peserta terhadap isu-isu semasa seperti budaya Fear of Missing Out (FOMO), buli siber dan penyebaran maklumat palsu, malah menyemai nilai integriti, etika serta tanggungjawab dalam interaksi digital, sekali gus memperkukuh kesejahteraan mental dan literasi digital selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.

Program yang menghimpunkan seramai 1,039 peserta terdiri daripada pelajar, guru serta warga KKR itu turut diserikan dengan penglibatan Unit Kemasukan USM yang mengadakan promosi pengajian dan laluan kemasukan ke universiti, sekali gus memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian ke USM sambil memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekolah dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi.

Kerjasama strategik antara Unit Kaunseling BHEPA USM, Unit Kemasukan USM, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan SMK Penanti sebagai Sekolah Angkat MADANI membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan modal insan secara holistik, memperluas pemindahan kepakaran universiti kepada masyarakat serta mengukuhkan peranan BHEPA USM sebagai rakan strategik dalam pembangunan pelajar, kesejahteraan psikologi dan pendidikan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.