TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kebajikan

Inisiatif “Freshie Kit : Welcome to USM” Serlah Keprihatinan MPPUSM Terhadap Mahasiswa Baharu

Oleh : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 23 September 2026 :- Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) Sidang Akademik 2025/2026 terus memperkasa agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelaksanaan inisiatif “Freshie Kit: Welcome to USM” bagi menyambut ketibaan penuntut baharu ke kampus.

Inisiatif prihatin yang diketuai oleh Pengarah Projek, Kiraanjeet Subramaniam ini menyaksikan pengagihan lebih 600 kit kepada mahasiswa baharu sepanjang berlangsungnya Minggu Siswa Lestari bagi Sidang Akademik 2026/2027.

Menurut Kiraanjeet, kit berkenaan mengandungi pelbagai bekalan ringkas seperti makanan ringan dan minuman yang disediakan secara konsep siapa cepat dia dapat bagi membantu menyegarkan tenaga mahasiswa sepanjang mengikuti jadual orientasi yang padat.
Sementara itu, Yang Dipertua MPP USM, Saudara Azfar Al-Hafiz Azman turut menyifatkan program tersebut bukan sekadar simbolik ucapan selamat datang, malah menjadi medium terbaik buat kepimpinan pelajar mendekati penuntut baharu.

“Pelaksanaan inisiatif ini turut menjadi ruang kepada MPPUSM untuk mendekati mahasiswa baharu serta membina hubungan yang lebih mesra dan inklusif sejak peringkat awal pengajian,” jelasnya.

Tambahnya lagi, usaha murni ini turut berteraskan Elemen HEBAT USM yang mementingkan nilai Holistic dan Balanced, menerusi pendekatan kebajikan yang mengambil kira aspek kesejahteraan serta keperluan asas pelajar.

MPPUSM berharap agar inisiatif “Freshie Kit: Welcome to USM” ini mampu meninggalkan memori serta pengalaman pertama yang positif, sekali gus memupuk suasana kampus yang prihatin, mesra dan berjiwa keluarga selari dengan komitmen berterusan perwakilan mahasiswa terhadap kebajikan warga USM.