USM PULAU PINANG, 19 Disember 2024 :- Kreativiti dalam mendidik adalah kunci untuk menciptakan lingkungan pembelajaran yang menarik, penuh inspirasi dan efektif. Dengan kreativiti, kita dapat membuat pembelajaran menjadi lebih menyenangkan, seronok, mudah difahami dan bermakna.
Disamping melaksanakan aktiviti berteraskan kelestarian yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan universiti khususnya dalam aspek kelestarian, Program Pelaksanaan Modul Keseronokan Membaca, anjuran para pelajar Kursus Kaedah Mengajar Bahasa Malaysia I, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman mengenai 17 Matlamat Pembangunan Mampan.
Bertempat di perkarangan Dewan Kuliah G03, para siswa/i Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan telah menunjukkan kreativiti berkumpulan masing-masing dalam usaha menyebar dan memberi pemahaman jelas kepada pelajar lain mengenai salah 1 kategori SDG yang diberikan.
Ringkas dan mudah, dengan hanya menggunakan bahan terbuang, pelbagai rekabentuk dapat dihasilkan seperti pohon ilmu, taman mini, kolam ikan dan sebagainya bertujuan untuk menjadikan proses pembelajaran SDGs menjadi lebih menarik sekaligus mencipta suasana meriah untuk dikunjungi.
Dari perspektif agenda HEBAT, secara tidak langsung pelajar telah menunjukkan beberapa elemen anjakan holistik, seimbang, artikulasi dan berfikir melalui atribut kerja berkumpulan dalam mengupayakan semangat kerjasama, bertoleransi, menyumbang secara aktif kepada matlamat berkumpulan, kepimpinan, pemikiran saintifik, apresiasi seni, komunikasi dan pemikiran kreatif dalam mempelbagaikan penyampaian ilmu.
Melalui aktiviti sebegini dalam usaha menerapkan dan meneruskan halatuju universiti dalam memperkasakan lagi kelestarian, diharapkan agar konsep kelestarian, agenda APEX universiti dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) berpotensi untuk dijadikan sebagai aktiviti yang berfokuskan kepada elemen kelestarian secara berterusan.