Skip to main content

PROJEK TAHUN AKHIR PELAJAR PUSAT PENGAJIAN KOMUNIKASI PERKASAKAN AGENDA KELESTARIAN

G1G6

USM PULAU PINANG, 18 Disember 2024 :- UBAHTerra (UBAH : perubahan) dan (terra : bahasa Latin untuk bumi)  merupakan projek tahun akhir oleh pelajar Pusat Pengajian  Komunikasi USM dalam usaha menangani perubahan iklim melalui amalan kelestarian.

Dengan tumpuannya pada perpaduan (U), keseimbangan (B), penyesuaian (A), dan penyembuhan (H), UBAHTerra mengajak individu dan masyarakat dalam menangani isu iklim dengan mengamalkan gaya hidup lestari dan secara aktif menyumbang kepada ekosistem pemulihan melalui SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Kelestarian Bandar dan Komuniti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Memerangi Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Maklumat).

Bertempat di Bangunan C10, Palka Lestari, Balai Berita USM Kampus Induk,  program telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Bahiyah Omar, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi dan turut dihadiri bersama oleh Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Encik Mazlan Ayob, Pengarah Kreatif Northwind Intellec, Cik Nur Aryeza Najwa, mewakili Setia SPICE Convention Center, Encik Ong Choon Keat, Pengerusi Majlis Belia Daerah Timur Laut,  Puan Mazlina, Pengerusi Komuniti bersama Taman Utama, penasihat projek Dr. Kamaruzzaman Abd Manan dan Dr. Miharaini Md Ghani, mewakili Persatuan Bike Commute USM, para pensyarah dan barisan pelajar tahun akhir.

Bahiyah dalam ucapannya berkata projek pelajar tahun akhir ini bukan sekadar mempamerkan kerja keras dan kreativiti mereka malah ianya juga merupakan ketabahan dan dedikasi mereka di sepanjang masa ketika berada di pusat pengajian.

“Program yang diadakan pada hari ini turut menampilkan hasil kerja projek tahun akhir dari pelajar lain termasuklah pembentangan pelajar dari  Skrin Kreatif dan Komunikasi Digital. Ini adalah peluang yang sangat baik untuk semua pelajar untuk belajar antara satu sama lain, berkongsi idea, dan memberi inspirasi antara satu sama lain” ujarnya.

Sementara itu, menurut Saudara Zulhilmi selaku pengarah projek katanya UBAHTerra bukan hanya sekadar projek tahun akhir dan ianya lebih dari itu. Ia juga adalah seruan kepada kita untuk bertindak. Melalui  kempen kesedaran, kami berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada individu dan komuniti untuk mengambil alih peranan mereka dalam membina masa depan yang mampan.

“Setiap perkongsian, kerjasama dan tindakan kecil menyumbang kepada yang lebih besar dan  impak sebegitulah yang kami harapkan dapat dicapai bersama,” tambahnya lagi.

Dr. Ng turut berkata bahawa memupuk kelestarian dalam pendidikan adalah penting atas beberapa sebab dan yang paling penting pendidikan adalah asas untuk membentuk nilai dan tingkah laku masa generasi hadapan. Dengan menyepadukan amalan kelestarian ke dalam kurikulum, kita telah melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memahami dan menangani cabaran alam sekitar.

Projek UBAHTerra seterusnya akan diadakan bersama komuniti Taman Utama, Gelugor bermula jam 7:00 pagi pada 28 Disember 2024 melibatkan beberapa aktiviti antaranya persekitaran hidup lebih hijau dan kondusif untuk semua, program kitar semula dan ceramah kelestarian manakala pada 7 Januari 2025 bertempat di Setia SPICE Covention Centre akan diadakan program seperti leca balls : kaedah penanaman secara akuaponik, kaedah menyuburkan tumbuhan dengan berkesan dan lain-lain lagi.