Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan
Pusat Pembangunan Pelajar Perkasa Pertubuhan Pelajar Demi Kelestarian Agenda “Brain of the Nation”
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 7 Oktober 2026 – Ekosistem kepimpinan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) terus diperkasa apabila Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar, mengadakan lawatan rasmi semasa Hari Pertubuhan Pelajar Sidang Akademik 2026/2027.
Memasuki hari ketiga, lawatan yang berlangsung meriah di Dewan Kuliah G03 (DK G03) itu bertujuan meninjau secara dekat gerak kerja, komitmen, serta sumbangan persatuan, kelab, sekretariat pelajar, dan persatuan anak negeri dalam membudayakan aktiviti berpersatuan yang berimpak tinggi di kampus.
Kehadiran Azizah turut dimanfaatkan untuk berdialog secara langsung dengan barisan kepimpinan pelajar bagi memastikan hala tuju organisasi sentiasa selaras dengan visi strategik universiti.
Menerusi Bengkel Pengukuhan Strategik Pembangunan BHEPA yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya di Pulau Pangkor, Perak pada 3 hingga 5 Februari lalu, BHEPA bukan sekadar menumpukan aspek kebajikan dan pembangunan pelajar, malah komited membentuk arkitek kemenjadian siswa dan impak sosial USM.
Inisiatif ini mendasari kesinambungan Bengkel Perancangan Strategik 2025–2027 yang digariskan oleh PPP, di mana perancangan menyeluruh digerakkan melalui lima fokus utama—Tadbir Urus (Governance), Bakat (Talent), Jaringan (Networking), Sumber (Resources), serta Digital & Inovasi (Digitalisation & Innovation) bagi memperkasakan empat sektor di bawah seliaannya.
“Dalam sesi interaksi bersama para pelajar, penekanan khusus telah diberikan kepada enam teras halatuju BHEPA yang menjadi kompas utama pembangunan sahsiah dan potensi mahasiswa, iaitu kebajikan dan kesejahteraan, keterampilan dan kemampanan, kebersamaan dan sinergi, keadaban dan kemanusiaan, kelestarian kewangan dan persekitaran, serta kerohanian dan keinsanan,” ujar beliau.
Beliau menambah, peranan pertubuhan pelajar tidak hanya tertumpu kepada program berteraskan agenda H.E.B.A.T, Students for Society (S4S), dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) semata-mata, tetapi perlu diperkukuh agar sentiasa seiring dengan amanat Menteri Pengajian Tinggi bahawa universiti merupakan “brain of the nation – akal budi nusa”.
Justeru, keenam-enam teras strategik tersebut amat penting dalam membentuk sahsiah unggul, membina nilai kepimpinan tulen, serta melahirkan graduan berdaya cipta dan lestari yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.