TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Hari Bersama Pertubuhan Pelajar USM : Landasan Lahir Mahasiswa Berilmu dan Berjiwa Pemimpin

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 5 Oktober 2026 :- Akademik dan pembangunan sahsiah diri saling melengkapi. Pelajar yang cemerlang akalnya tetapi lemah pembangunan sahsiahnya umpama pokok yang rendang tetapi tidak berbuah manis, cantik dipandang tetapi tidak disandarkan pada sahsiah yang tinggi.

Bagi melahirkan individu yang berilmu tinggi disulam dengan jiwa kepimpinan dan berbudi bahasa, Hari Bersama Pertubuhan Pelajar di DK G03 merupakan inisiatif dibawah Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, diadakan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada semua pelajar terutamanya pelajar baharu dalam meneroka bakat dan potensi diri.

Selain mempromosikan program, sebanyak 86 persatuan aktif termasuk kelab, sekretariat dan anak negeri berhimpun secara bergilir-gilir selama 3 hari bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar baharu USM untuk mendapatkan informasi dan mendaftar keahlian.
Program yang diadakan secara tahunan setiap kali sidang baharu dibuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi pencapaian pertubuhan pelajar dalam penganjuran program merangkumi agenda H.E.B.A.T, Matlamat Pembangunan Mampan dan Students for Society, tetapi juga berperanan penting membentuk dimensi adaptif, tangkas dan berdaya tahan, pembina negara dan siap siaga masa hadapan yang berpaksikan kemanusiaan, menghayati nilai serta dipacu impak.

Mahasiswa/i baharu diseru untuk mengambil peluang ini sepenuhnya bagi melibatkan diri secara aktif, mengembangkan potensi diri, meningkatkan kemahiran insaniah  serta membina rangkaian dan pengalaman kepimpinan di luar bilik kuliah.