TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Reka Cipta dan Inovasi

Pelajar Sains Komputer USM raih Emas dan Perak di DICE 4.0

Oleh : Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA
Foto : MPRC / Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Pulau Pinang, 20 November 2026 – Dua pasukan pelajar tahun empat Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia melonjakkan nama universiti di persada antarabangsa selepas merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Perak dalam pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengangkat tema ‘Warisan’ sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026, edisi keempat DICE yang berlangsung pada 16 hingga 19 November 2026 ini mempertemukan 350 peserta daripada 70 pasukan pemula pelajar yang mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand dan Nigeria.
Pasukan Zapin Verse dianggotai Muhammad Suhaimi Mohamad Shahudi, Al Rasyidiqy Muhammad Khathir, Naveen Kumar E Gunasekaran dan Timothy Thomas mengungguli kategori AR/VR/MR dengan Anugerah Emas menerusi inovasi bertajuk Zapin Training Using Virtual Reality Technology and Pre-Training Fitness Level Detection with the EmotiBit Sensor.

Pasukan Empowermom Creation (EMC) yang dibarisi Aveenath Lai Devis, Ammar Adwa Mohd Radhi, Nur Maziah Shafie dan Koh Kean Hoe turut mencuri tumpuan apabila menggondol Anugerah Perak kategori Reka Bentuk Perindustrian melalui ciptaan bertajuk Development of a Talking Cane for the Blind Using Heritage Wood and Artificial Intelligence Technology.

Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said turut meluangkan masa menyantuni serta bertemu delegasi USM di reruai pameran bagi memberikan sokongan moral terhadap hasil inovasi para pelajar.

Sepanjang kejohanan berlangsung, kecemerlangan kedua-dua pasukan ini diperkukuh menerusi bimbingan mentor pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Komputer, iaitu Dr. Azman Ab Malik dan saudara Muhammad Zulhafiz Zulhisham, dengan iringan pegawai Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Encik Luqman Jasni.

Kejayaan membanggakan ini memacu aspirasi Agenda H.E.B.A.T. USM serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dalam memperkasakan ekosistem pembangunan bakat mahasiswa yang kreatif, adaptif serta bersedia mencipta penyelesaian bermakna untuk masyarakat.