TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kebudayaan

ADIKARMA USM Pertahan Johan FesTA’26, Rangkul Anugerah Koreografi Terbaik

Oleh : Kumpulan Kesenian ADIKARMA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 27 Oktober 2026 – Kumpulan Kesenian ADIKARMA, Universiti Sains Malaysia (USM) mengekalkan dominasinya dalam persada seni tari apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori IPTA/IPTS bagi Tarian Rampaian Tradisional Kreasi di Festival Tari Kebangsaan UKM 2026 (FesTA’26) pada 24 Oktober lalu.

Pementasan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia itu turut menyaksikan ADIKARMA meraih Anugerah Koreografi Terbaik.

Anugerah berkenaan dicapai menerusi karya hasil ciptaan dan bimbingan Encik Ahmad Assahirin Hamlet dari Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, BHEPA USM. Kejayaan berganda ini melengkapkan kejayaan ADIKARMA mempertahankan kejuaraan tersebut buat tahun kedua berturut-turut.
Menerusi karya Rampaian Mahligai Kasih, seramai 12 penari ADIKARMA menggabungkan elemen inang, joget lambak dan silat pengantin untuk menghidupkan keindahan adat perkahwinan melayu, daripada merisik hingga akad nikah dan persandingan, dengan menampilkan kelembutan gerak tari serta kemeriahan budaya yang mencerminkan keunikan warisan bangsa.

Pertandingan kategori berkenaan menyaksikan persaingan tujuh institusi, dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih Naib Johan dan Anugerah Busana Terbaik, Management and Science University (MSU) di tempat ketiga, manakala Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima Anugerah Khas Juri.

Festival tersebut turut dihadiri Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Rosnan Abdul Rahman.

Pencapaian ini mengukuhkan peranan ADIKARMA sebagai wadah pengembangan bakat mahasiswa dalam memperkasa seni tari tradisional Melayu melalui kreativiti dan penghasilan karya bermutu, sekali gus mengharumkan nama USM di persada kebudayaan kebangsaan.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kumpulan Kesenian Adikarma atas kejayaan membanggakan ini yang menyerlahkan kecemerlangan bakat mahasiswa serta mengangkat martabat seni tari tradisional Melayu di persada kebangsaan.