TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Inspirasi Varsiti USM 2026 Himpun 133 Pelajar, Perkasakan Hala Tuju Generasi Muda ke Menara Gading

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 14 November 2026 :- Seramai 133 orang pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 daripada enam buah sekolah menengah menyertai Program Inspirasi Varsiti USM 2026 selama tiga hari bermula semalam bagi memperkasa hala tuju pendidikan serta menarik minat generasi muda melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Program berimpak tinggi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia itu turut menggerakkan seramai 48 fasilitator yang diketuai oleh Muhammad Aiman Shuqran Norazman bagi membimbing para peserta.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ketua Pentadbir BHEPA USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, yang menyifatkan penganjuran inisiatif ini sebagai titik tolak penting dalam merencana masa depan pelajar.
Beliau menegaskan bahawa program berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan asas mengenai kehidupan di universiti, malah menjadi ruang untuk anak-anak muda mengenali potensi diri, meneroka minat serta membayangkan hala tuju kerjaya yang ingin dibina.

Turut senada ialah Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid, yang menzahirkan penghargaan atas penyertaan memberangsangkan daripada para pelajar sekolah terlibat.

Menurut beliau, hasrat utama KPT dan USM menerusi kerjasama strategik ini adalah untuk memastikan golongan pelajar bukan sekadar melihat universiti dari jauh, tetapi merasai sendiri denyut nadi kehidupan sebenar sebagai mahasiswa di kampus.

Tirai pengisian hari pertama dibuka menerusi sesi Ice Breaking: Campus Connect yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi daripada Unit Kaunseling BHEPA USM, Puan Anis Natasha Zulkifli.

Slot seterusnya diteruskan dengan Sesi Motivasi oleh alumni USM merangkap Pengarah Urusan Daily Dose Supply & Services, Encik Mohd Zul Fahmi Zahari, bagi menyuntik semangat kecemerlangan akademik dalam kalangan peserta.

Momentum program pada hari kedua pula diwarnai dengan pelbagai aktiviti interaktif dan bimbingan praktikal termasuk acara Explorace di sekitar kampus.
Para peserta turut didedahkan dengan sesi taklimat interaktif aplikasi UPU Pocket yang dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Kanan Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Jabatan Pendaftar USM, Encik Mohamad Kasyfi Mohamad Taufik, sebelum melabuhkan tirai menerusi acara Malam Kesenian.

Selain bertindak sebagai platform bimbingan pendidikan, penganjuran Inspirasi Varsiti USM 2026 ini selari dengan komitmen berterusan universiti dalam memacu agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Inisiatif ini menyokong secara langsung pelaksanaan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) menerusi jalinan sinergi antara pihak universiti, kementerian serta institusi sekolah.

Secara keseluruhannya, program tiga hari ini diharapkan dapat menjadi pemangkin aspirasi buat para pelajar sekolah menengah untuk melangkah ke menara gading dengan persediaan yang lebih rapi. Usaha bersepadu ini sekali gus menyumbang kepada pembentukan modal insan yang berilmu pengetahuan tinggi, berdaya saing serta seimbang dari segi pencapaian akademik dan sahsiah.