TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Reka Cipta dan Inovasi

The Dilution Juara International Entrepreneurship Convention 2026

Oleh : Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 9 Oktober 2026 :- Tahniah diucapkan kepada The Dilution, syarikat pemula pelajar Universiti Sains Malaysia, atas kejayaan merangkul gelaran juara International Entrepreneurship Convention 2026 & StartUp Pitching Competition yang berlangsung di Pulse Grande, Putrajaya pada 7 dan 8 Oktober 2026.

Pasukan The Dilution yang diketuai oleh Koh Kean Hoe bersama-sama Naveen Kumar a/l E Gunasekaran dan Ahmad Zameer dari Pusat Pengajian Sains Komputer USM membawa pulang wang tunai RM5,000 menerusi pembangunan sistem penyediaan ubat berasaskan prapesanan yang mengintegrasikan lengan robotik, teknologi Internet Benda (IoT) dan pengkomputeran awan bagi menyelaraskan proses penyediaan ubat, pemantauan inventori serta pendosan, di bawah bimbingan Dr. Azman dari pusat pengajian yang sama.

Konvensyen anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Program ini menghimpunkan mahasiswa, usahawan muda, pemimpin industri, pengasas syarikat pemula, pelabur, pendidik keusahawanan serta pemain ekosistem keusahawanan dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan mahasiswa serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Turut mencipta kejayaan ialah The Next Unicorns, pasukan di bawah bimbingan Puan Hajar Zituakmar dari Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, yang meraih hadiah saguhati bernilai RM500 menerusi pembangunan aplikasi RentMate Kampus, sebuah platform digital yang membolehkan pelajar menyewa, meminjam dan menjana pendapatan melalui penyewaan peralatan atau barangan keperluan berasaskan model perniagaan langganan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pasukan atas pencapaian membanggakan tersebut yang mencerminkan kreativiti, daya saing dan potensi mahasiswa USM dalam meneroka bidang keusahawanan serta menghasilkan inovasi yang berimpak.