TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Debat dan Pidato

SEMPANA USM Johan Sayembara Temasya Pantun Islami USAS

Oleh : SEMPANA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2026 – Tahniah dan Syabas kepada Pasukan SEMPANA Universiti Sains Malaysia! Keindahan bait kata dan kejelasan pemikiran melakar kejayaan apabila mereka diumumkan sebagai Johan Temasya Pantun Islami yang berlangsung di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak.

Kemenangan ini memperlihatkan kehebatan tersendiri apabila USM berjaya mengulangi sejarah gemilang selepas pernah julung kalinya dinobatkan sebagai juara pada tahun 2019.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari pada 8-10 Oktober 2026 ini melibatkan 5 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Dengkil, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Azlah Shah (USAS).

SEMPANA USM diwakili oleh Muhammad Syawwal Radzi, Tahun 3 Pusat Pengajian Sains Fizik, Muhammad Aiqim Bukhari, Tahun 3 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Raihana Mohd Razif, Tahun 4 Pusat Pengajian Pengurusan dan Nur Ain Zulaika Zulfadli, Tahun 2 Pusat Pengajian Komunikasi.
SEMPANA USM berjaya menempuh pelbagai peringkat saringan dengan tema-tema menarik seperti Al Ghazwul Fikri, Kecerdasan Buatan serta Kearifan Maritim Melayu sebelum mara ke pentas akhir menentang pasukan ADYKALABUDI dari UIAM dengan keputusan juri 8-0.

Dengan kejayaan ini, mereka membawa pulang hadiah berjumlah RM3000 manakala Raihana Mohd Razif turut berjaya meraih anugerah Pemantun Terbaik Peringkat Akhir sekali gus membuktikan keupayaan dan konsistensi SEMPANA USM dalam mengangkat seni warisan pantun di peringkat universiti. 

Di bawah bimbingan Encik Murshid Md Hussin, Pegawai Kebudayaan Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, bersama Encik Muhamad Shamsuri Hashim (alumni USM) selaku penasihat luar, mereka turut dibantu oleh barisan jurulatih iaitu Puan Syuhaira Afiah, Encik Amirul Zikri dan Cik Syahirah serta sokongan ahli SEMPANA dan alumni USM. 

Kemenangan ini bukan sahaja mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia di pentas seni budaya varsiti, malah membuktikan bahawa seni pantun terus subur sebagai medium intelektual, kreativiti dan warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.