TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kesukarelawanan

USM Hantar 30 Sukarelawan Mahasiswa Bantu Komuniti Terjejas Banjir di Pulau Pangkor

Oleh : Nur Anis Atikah Almizan, Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PANGKOR, 19 Oktober 2026 :- Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar menggerakkan seramai 30 sukarelawan mahasiswa bersama tiga pegawai pengiring bagi menjayakan Misi Sukarelawan Bantuan Pascabanjir di sini, hari ini.

Misi bantuan kemanusiaan itu dilaksanakan bagi membantu penduduk setempat yang terjejas akibat bencana banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pangkor baru-baru ini.

Menurut kenyataan USM, misi berkenaan memberi tumpuan khusus kepada aktiviti pembersihan persekitaran, gotong-royong serta usaha pemulihan kediaman awam dan penduduk.

Pelaksanaan aktiviti disesuaikan mengikut keperluan semasa di lapangan bagi memastikan bantuan yang disalurkan memberi impak maksimum kepada komuniti.

Antara lokasi yang terjejas dan menjadi fokus pembersihan termasuk Kampung Sungai Pinang Besar, Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil, Kampung Hussin, Teluk Gedung, Kampung Tengah, Rumah Murah, Taman Pangkor Mutiara serta Taman Sri Pangkor.
Selain sumbangan tenaga, USM turut menyalurkan 30 kotak bantuan makanan kering bagi meringankan beban serta memenuhi keperluan asas penduduk yang terjejas.

Misi pemulihan ini diselaraskan oleh tiga pegawai pengiring USM iaitu Encik Ahmad Heidey Iskandar Mohd Rayhan, Cik Nur Anis Atikah Almizan dan Encik Sarbani Mohd Said.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama rapat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR).

Penglibatan aktif ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mendedahkan mahasiswa kepada budaya kesukarelawanan, menyemai nilai keprihatinan sosial, sekali gus memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat menerusi bantuan kemanusiaan.