TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

USM Falcons Kabaddi Wanita Cipta Kejayaan, Rangkul Dua Anugerah Individu

Oleh : Tinethran a/l Kanagan, Unit Kabaddi, Persatuan Kebudayaan India USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 6 November 2026 :- Pasukan Wanita USM Falcons Kabaddi Universiti Sains Malaysia muncul Johan Kejohanan Arjunar Kabaddi Kebangsaan 2026 selepas menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan keputusan 32–16 dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 31 Oktober 2026 di Kompleks Sukan UTeM Holding, Melaka.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut diserikan dengan dua anugerah individu apabila Srileysmhashri A/P Kumaran, pelajar Tahun Dua Pusat Pengajian Sains Kajihayat, dinobatkan sebagai penyerang terbaik (Best Raider) manakala Harmithaa A/P Ganesan, pelajar Tahun Satu Pusat Pengajian Pengurusan, menerima anugerah pertahanan terbaik (Best Defender).

Penyertaan USM dalam kejohanan anjuran Kelab Kabaddi Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) itu menampilkan dua pasukan USM Falcons Kabaddi, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita, hasil kerjasama Persatuan Kebudayaan India USM (PKI USM) dengan Engineering Indian Cultural Club, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM (EICC USM).
Kejohanan tersebut menghimpunkan 12 pasukan lelaki dan tujuh pasukan wanita dari pelbagai institusi yang berentap mempamerkan keupayaan, ketangkasan serta strategi permainan masing-masing dalam merebut gelaran juara.

Kecemerlangan atlet wanita USM dalam kejohanan ini memperlihatkan penguasaan aspek serangan dan pertahanan, selain menyerlahkan disiplin, daya tahan serta kerjasama berpasukan yang menjadi kekuatan utama dalam mencapai kejayaan.

Pasukan USM Falcons Kabaddi dibimbing oleh jurulatih Ruhan a/l Lekchumanan, manakala pengurusan pasukan diketuai oleh Tinethran a/l Kanagan, pelajar Tahun Dua Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, yang turut menyelaras persiapan dan penyertaan pasukan sepanjang kejohanan.

Kabaddi merupakan sukan berpasukan yang berasal dari Asia Selatan dan menguji kekuatan fizikal, ketangkasan serta daya tahan pemain menerusi strategi serangan dan pertahanan yang memerlukan fokus, keberanian, koordinasi serta kerjasama erat antara ahli pasukan.

Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama USM di peringkat kebangsaan, malah memperlihatkan kesungguhan universiti dalam memperkasa potensi atlet, membudayakan gaya hidup aktif serta meningkatkan kecergasan dan kesejahteraan mahasiswa, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.