Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta dan Inovasi
Science Spectrum Symposium 2026 Perkasa Ekosistem Inovasi, Himpun Bakat Muda Rentas Institusi
Oleh : Persatuan Sains Fizik USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 20 Jun 2026 – Usaha memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan perkongsian ilmu dalam kalangan generasi muda terus diperkasa menerusi penganjuran Science Spectrum Symposium 2026, sebuah pertandingan akademik yang mengetengahkan hasil penyelidikan serta idea inovatif yang mampu menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi negara.
Dianjurkan oleh Persatuan Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Tech Dome Penang, Society of Exploration Geophysicists (SEG), Geological Society of Malaysia (GSM) dan Kelab Astronomi USM, program yang berlangsung di Dewan Kuliah D (DK D), USM menjadi platform yang dapat memupuk budaya penyelidikan, menggalakkan perkongsian ilmu serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti pendidikan.
Disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Fairuz Omar, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Jalinan Industri-Komuniti) katanya, pengukuhan budaya penyelidikan dan inovasi merupakan asas penting dalam melahirkan graduan yang kreatif, berfikiran kritis serta berupaya memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negara berteraskan ilmu serta teknologi.
Turut hadir ialah Profesor Madya Dr. Mohd Mahadi Halim, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), serta Profesor Madya Dr. Nordiana Mohd Muztaza, Penasihat Persatuan Sains Fizik USM.
Diketuai oleh Nur Adila Berhanudin selaku Pengarah Projek bersama 33 orang sekretariat daripada pelbagai pusat pengajian, selain USM, program ini berjaya menghimpunkan penyertaan daripada universiti lain antaranya ialah UPSI, UiTM Cawangan Perlis dan Kampus Arau, MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, SMKA Al-Irshad, SMS Sultan Mohamad Jiwa dan SMK Taman Widuri.
Sepanjang pertandingan, para peserta membentangkan projek penyelidikan dan inovasi yang dinilai berdasarkan aspek kreativiti, nilai saintifik, kebolehgunaan dan impak kepada masyarakat oleh barisan panel juri berpengalaman, sekali gus menggalakkan penghasilan idea serta penyelesaian inovatif yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti dan industri.
Persaingan sengit sepanjang pertandingan akhirnya menyaksikan Catalyst 5 muncul sebagai Johan, diikuti MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Naib Johan dan SMS Sultan Mohamad Jiwa di tempat Ketiga.
Science Spectrum Symposium terus memperkukuh ekosistem penyelidikan, dan perkongsian ilmu melalui penglibatan aktif institusi pendidikan sekali gus memperluas jaringan kolaborasi strategik serta menyokong aspirasi SDG 9 : Industri, Inovasi dan Infrastruktur melalui salah satu sarannya dalam usaha Mempertingkatkan keupayaan teknologi sektor industri, menggalakkan penyelidikan, serta meningkatkan bilangan penyelidik dan perbelanjaan swasta/awam untuk pembangunan.