![]()
![]()
Komponen Generik MyCSD : Khidmat Masyarakat
COP USM : Medan Praktikal Klinikal Pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi
Oleh : Wakil Persatuan Sains Farmasi
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 30 Mei 2026 – Seramai 105 warga emas daripada Silver Jubilee Home for The Aged menerima manfaat langsung daripada Program Jalinan Komuniti (Community Outreach Programme, COP) Sidang Akademik 2025/2026 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 23 Mei 2026 ini diterajui oleh Pengarah Projek, She Yi Hao, bersama-sama 63 ahli jawatankuasa ini berfungsi sebagai medan latihan praktikal klinikal bagi mahasiswa farmasi sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti yang diketuai oleh Dekan PPSF USM, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan; Penasihat Projek COP, Profesor Madya Dr. Leow Chiuan Yee; dan Yang di-Pertua (YDP) Persatuan Sains Farmasi, Nur Shawani Shaharuddin. Turut hadir ialah Pengerusi Silver Jubilee Home for The Aged, Dato’ Ooi Hooi Kiang, serta ahli jawatankuasa pusat jagaan berkenaan.
Bagi memastikan kualiti dan ketepatan saringan kesihatan yang dijalankan, seramai enam Perunding Saringan Kesihatan daripada PPSF turut turun padang untuk memantau dan membimbing para pelajar.
Program COP kali ini direka khusus berteraskan agenda global dan pembangunan insani dengan memfokuskan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) menerusi saringan kesihatan fizikal serta emosi warga emas.
Bagi memenuhi agenda Matlamat Pembangunan Mampan 3 : Kesihatan Baik dan Kesejahteraan dan agenda 4 : Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) di luar kuliah, program ini turut menerapkan kemahiran insani yang merangkumi aspek kepimpinan, komunikasi berkesan, kerja berpasukan, dan pemikiran kritikal.
“Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif korporatnya, malah mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai empati yang tinggi, belas kasihan, dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam terhadap golongan rentan,” ujar wakil penganjur ketika ditemui selepas program tamat.
COP Sidang Akademik 2025/2026 telah meninggalkan impak yang amat positif terhadap peningkatan keyakinan diri serta kemahiran interpersonal pelajar dalam mengendalikan interaksi profesional bersama-sama komuniti.
Melalui aktiviti saringan kesihatan komprehensif ini, jurang antara menara gading dengan masyarakat diharap dapat dirapatkan, selain berupaya menyuntik sokongan emosi serta keceriaan kepada komuniti terlibat dari masa ke masa.