Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta & Inovasi

Pelajar Tahun Akhir Raih Tempat Ketiga di National Pharmacy Research Competition 2026

Oleh : Wong Sze Keith, Naib Yang Dipertua II, Persatuan Sains Farmas
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG 4 Jun 2026 :– Tahniah diucapkan kepada Rachel Yoong Jie Ying, pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, atas kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga dalam kategori B sempena 9th MyPSA National Pharmacy Research Competition (NPRC) anjuran Malaysian Pharmacy Students’ Association (MyPSA) yang berlangsung di University of Cyberjaya.

Pertandingan peringkat kebangsaan yang dijalankan pada 16 Mei 2026 itu menghimpunkan seramai 29 peserta daripada lapan IPT di seluruh negara iaitu Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, University of Cyberjaya, Management and Science University, Taylor’s University dan Quest International University.

Sebagai platform yang mengangkat kecemerlangan penyelidikan mahasiswa, NPRC memberi peluang kepada para peserta untuk membentangkan hasil Projek Tahun Akhir (FYP), berkongsi dapatan penyelidikan, memperluas jaringan akademik serta bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa dalam bidang farmasi bersama rakan penyelidik dan ahli akademik dari pelbagai institusi.
Di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Chan Siok Yee, pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi, menerusi penyertaan dalam kategori B yang melibatkan bidang Farmakologi, Kimia Farmaseutikal, Farmaseutik dan Teknologi Farmaseutikal, Rachel membentangkan kajian bertajuk “Comparative Stability Study of Isotretinoin-Loaded Electrospun Films for Anti-Acne Therapy Under Different Packaging Conditions”.

Kejayaan meraih kedudukan antara pemenang terbaik yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Masro Mohamad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan ini bukan sahaja mencerminkan ketekunan dan komitmen antara ahli akademik dan pelajar malah membuktikan kemampuan mahasiswa USM untuk bersaing secara cemerlang.

Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian cemerlang ini yang bukan sahaja membanggakan universiti, malah menjadi bukti keupayaan mahasiswa USM untuk terus unggul dan berdaya saing di pentas akademik peringkat kebangsaan.