Skip to main content

G4

Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta dan Inovasi

Pelajar PPIP Rangkul 13 Anugerah di IIC-ESD 2026

Oleh : Kluster Psikologi, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 10 Julai 2026 – Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih 13 anugerah dalam 1st International Innovation Competition on Education for Sustainable Development (IIC-ESD 2026) yang berlangsung di Yala Rajabhat University (YRU), Thailand selama tiga hari bermula 1 Julai 2026.

Pertandingan yang menghimpunkan peserta dari Thailand, Indonesia, China dan Malaysia itu bertemakan “Innovative Education for a Sustainable Future” dengan memberi penekanan kepada peranan inovasi pendidikan, kelestarian, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang relevan dengan keperluan pendidikan masa hadapan, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 : Pendidikan Berkualiti.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar menyertai pembentangan inovasi pendidikan di hadapan panel penilai antarabangsa, sesi pembentangan kertas kerja, lawatan akademik serta aktiviti jaringan bersama peserta dari pelbagai negara yang memperkukuh kemahiran komunikasi akademik, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran global mereka.

Seramai 48 pelajar USM yang mewakili 13 pasukan inovasi pendidikan menyertai pertandingan tersebut di bawah pimpinan Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail bersama Profesor Madya Dr. Melissa Ng Lee Yen Abdullah, Profesor Madya Dr. Shahabuddin Hashim dan Profesor Madya Dr. Aswati Hamzah sebagai pensyarah pengiring serta mentor akademik.

Hasil komitmen, persediaan rapi dan kerjasama berpasukan, kontinjen USM berjaya membawa pulang satu Anugerah Platinum, 11 Anugerah Emas dan satu Anugerah Perak, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar USM dalam menghasilkan inovasi pendidikan yang berimpak serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Pencapaian ini turut mencerminkan komitmen USM dalam memperkasa pembangunan pelajar melalui pengalaman pembelajaran global yang melibatkan kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi akademik dan penerapan nilai kelestarian, selaras dengan agenda H.E.B.A.T. USM yang menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik, seimbang, berfikiran kritis dan berdaya saing.

Selepas program berakhir, pembangunan pelajar diteruskan melalui bengkel perkongsian inovasi pendidikan dan penyuntingan extended abstract bagi membantu pelajar memperkemas hasil inovasi, meningkatkan kualiti penulisan akademik serta menyediakan abstrak untuk penerbitan dalam prosiding inovasi pendidikan.

IIC-ESD 2026 bukan sahaja mengangkat pencapaian pelajar USM di pentas antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang yakin, kreatif, berdaya saing dan berfikiran global. Kejayaan ini turut memperkukuh peranan USM dalam memacu agenda inovasi pendidikan dan kelestarian, selaras dengan peranannya sebagai tuan rumah IIC-ESD 2027