Skip to main content

MAHASISWA PPIP USM CEMERLANG DI PENTAS ANTARABANGSA, PACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN DIGITAL

USM PULAU PINANG, 9 April 2026 :- Dalam era transformasi digital yang pesat, pelajar diasah untuk berfikiran inovasi, kreativiti dan integrasi teknologi secara menyeluruh. Keperluan ini penting bagi melahirkan bakat pelajar yang dinamik, adaptif dan berdaya saing di peringkat global. Seiring itu, penglibatan pelajar dalam pertandingan inovasi menjadi platform strategik untuk mengasah kemahiran abad ke-21 serta meneroka pendekatan pembelajaran yang lebih relevan dan berimpak tinggi.

Kejayaan mahasiswa Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia dalam pertandingan inovasi berprestij antarabangsa, International Innovation & Exhibition Fair (IIEF) 2026 yang berlangsung di Dewan Darul Aman, Kolej MARA Kulim, Kedah, jelas membuktikan keupayaan dan daya saing mereka dalam bidang pendidikan digital yang semakin berkembang.

Komitmen ini dizahirkan melalui penghasilan beberapa inovasi yang kreatif dan signifikan, antaranya AQUA AVENGERS: Interactive Gamified Water Stewardship (2.0), S-PBM: Senario Interaktif Pembelajaran Berasaskan Masalah (2.0), VIOLET: Melodrama Si Luna Animasi Interaktif dari Samudra (2.0) serta Primevok: Eksplorasi Edumuzikal Dunia Prasejarah.

Melibatkan empat kumpulan pelajar PPIP USM yang bertanding dalam format hibrid, iaitu satu kumpulan secara dalam talian manakala tiga kumpulan lagi secara bersemuka, pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan fleksibiliti dan keanjalan pelajar dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, malah mencerminkan penguasaan mereka terhadap ekosistem pembelajaran digital yang semakin menjadi keperluan global.

Di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Shahabuddin Hashim bersama Puan Nurul ‘Ain Abdul Halim, penyertaan yang melibatkan seramai 10 orang pelajar PPIP USM ini menyerlahkan komitmen berterusan dalam memperkasa kompetensi pelajar melalui pendekatan pendidikan berasaskan teknologi dan inovasi.

Hasil daripada penyertaan tersebut, empat pingat perak berjaya dirangkul, sekali gus menjadi manifestasi kecemerlangan mahasiswa PPIP USM dalam meneroka dan mengaplikasikan pendekatan pendidikan masa hadapan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa, malah memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin inovasi negara.

Lebih signifikan, pencapaian ini selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) serta Dasar Pendidikan Tinggi Negara yang menekankan pemerkasaan pembelajaran digital, pembentukan graduan holistik berciri inovatif, kreatif dan berkeusahawanan, di samping memperkukuh kolaborasi strategik antara akademia dan industri.

Teks/foto: MPP PPIP 205/2026
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA