TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Majlis Ramah Mesra TNC HEPA Bersama Mahasiswa Anak Melaka Kukuhkan Hubungan Dua Hala di USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 7 November 2026 :- Langkah proaktif Perkumpulan Anak-Anak Melaka (PURNAMA) Universiti Sains Malaysia mendekati pentadbiran tertinggi universiti terserlah menerusi penganjuran Majlis Ramah Mesra Timbalan Naib Canselor HEPA bersama Mahasiswa Anak Melaka USM yang berlangsung meriah di Lantai Seni, Kompleks Cahaya Siswa.

Usaha ini menterjemahkan keutamaan persatuan dalam membina wacana inklusif, sekali gus merapatkan jurang komunikasi antara mahasiswa anak negeri dan pengurusan universiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menegaskan, platform seumpama ini menjadi medan kritikal untuk memastikan kepimpinan universiti sentiasa peka terhadap landskap kebajikan serta aspirasi semasa pelajar.

“Saya percaya banyak perkara dapat difahami dengan lebih baik apabila pihak pentadbiran duduk bersama, berbincang dan mendengar pandangan pelajar secara langsung,” katanya.
Yang Dipertua PURNAMA USM, Saudari Noureysha Mudzaffar turut menyifatkan majlis berkenaan bukan sahaja memperkasakan ikatan ukhuwah, malah membuka dimensi baharu dalam jalinan komunikasi dua hala yang lebih telus antara mahasiswa Melaka dan pentadbiran USM.

Turut hadir bersama ialah Ketua Pentadbir BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa USM, Profesor Madya Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Penasihat PURNAMA USM, Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim dan Chemist. Dr. Mohd Nurazzi Norizan serta Pengarah Projek, Saudari Fairuz Bujal.

Sambutan hangat melebihi 100 mahasiswa ini bukan sahaja menyemarakkan peranan persatuan anak negeri, bahkan turut menetapkan penanda aras baharu dalam memperkasa agenda kebajikan serta hubungan strategik antara mahasiswa dan kepimpinan universiti.