Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan
Kerjasama Strategik Agensi Kerajaan Perluas Capaian Reproduktif Mahasiswa
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 4 Oktober 2026 – Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) @ IPTA LPPKN x USM memperkasa kesedaran mahasiswa mengenai kesihatan reproduktif, tanggungjawab sosial dan kepentingan membuat keputusan yang bijak demi kesejahteraan diri menerusi pengisian yang memberi penekanan terhadap aspek kesihatan, keselamatan, pencegahan tingkah laku berisiko serta pembentukan sahsiah.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, berkata pelaksanaan program tersebut mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara kementerian, agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam memperluas capaian pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada golongan sasaran.
“Saya melihat program ini sebagai satu contoh yang baik tentang kerjasama strategik antara kementerian, agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi, dan kerjasama seperti ini amat penting bagi memperluaskan capaian pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada golongan sasaran,” ujar beliau.
Turut hadir Dr. Azura Abdullah, Pengarah LPPKN Pulau Pinang, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir BHEPA USM dan barisan tenaga kerja Unit Kaunseling BHEPA.
Berlangsung di Bilik Pertubuhan Pelajar BHEPA USM, program anjuran Unit Kaunseling, BHEPA dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mahasiswa berkaitan kesihatan reproduktif serta sosial.
Program tersebut menampilkan pengisian oleh Dr. Miqdad Danial, Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan, Encik Mohammad Zafran Mohd Rafa’ai, Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM dan Encik Ahmad Heidey Iskandar Mohd Rayhan, Pegawai Tadbir Pengurusan dan Perkhidmatan Pelajar BHEPA yang berkongsi pengetahuan serta panduan praktikal berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial.
Pengisian berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting seperti seksualiti, nilai dan tanggungjawab, kesaksamaan gender, HIV, AIDS dan penyakit jangkitan seksual, di samping memberi pendedahan mengenai tingkah laku berisiko, teknik penolakan, keselamatan alam siber serta isu pemerdagangan manusia.