TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

PERDAMA USM Ungguli Anugerah Prestasi Terbaik MAMPAN IPT 2026

Oleh : Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur Universiti Sains Malaysia (PERDAMA USM)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 15 November 2026 – Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur Universiti Sains Malaysia (PERDAMA USM) terus melakar kecemerlangan di peringkat kebangsaan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Prestasi Terbaik MAMPAN IPT dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Anugerah berprestij tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bersempena dengan penganjuran Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang: Apresiasi Pahang 1st 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.

Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) Kebangsaan, dan Yayasan Pahang bagi menghargai sumbangan serta komitmen berterusan mahasiswa anak Pahang di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Yang Dipertua PERDAMA Sidang Akademik 2025/2026, Saudari Nik Norhafizah binti Nik Mohd Amin berkata, kejayaan meraih Anugerah Prestasi Terbaik Mampan IPT ini adalah milik mutlak seluruh keluarga besar PERDAMA USM.

“Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh barisan kepimpinan daripada jentera Exco yang bertungkus-lumus di lapangan sehinggalah barisan Majlis Tertinggi yang mengemudi hala tuju persatuan.

“Pengorbanan masa, tenaga, dan idea kalian adalah tulang belakang kepada pengiktirafan ini. Teruskan momentum ini untuk terus berbakti kepada mahasiswa, masyarakat dan Negeri Pahang,” ujarnya dengan rasa terharu.

Kejayaan PERDAMA USM ini membuktikan keaktifan dan dedikasi barisan kepimpinan serta ahli persatuan dalam menggerakkan pelbagai inisiatif kebajikan, kesukarelawanan, dan pembangunan mahasiswa yang selari dengan aspirasi negeri Pahang.