Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

44 Tahun Menginspirasi, PERDAMA USM Terus Mekar Membina Legasi Anak Pahang

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 26 Jun 2026 :- Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur, Universiti Sains Malaysia (PERDAMA USM) meraikan sambutan ulang tahun ke-44 persatuan itu dengan penuh gilang-gemilang melalui Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-44 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-44/2026, bertempat di Dewan Utama Desasiswa (DUD), Kompleks RST, USM, di sini.

Bertemakan "Malam Citra Legasi", majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohd Najib.

Mohamad Nizar menekankan kepentingan memperkasa penyertaan anak Pahang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai persediaan melahirkan tenaga mahir negara pada masa hadapan.

"Usaha ini perlu dimulakan sejak di bangku sekolah melalui intervensi yang berkesan, khususnya dalam meningkatkan penguasaan Matematik di peringkat sekolah rendah.

“Langkah ini penting agar lebih ramai pelajar berpeluang meneruskan pengajian dalam aliran STEM di peringkat menengah, seterusnya ke institusi pengajian tinggi," tegas beliau.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., serta barisan penasihat, Majlis Tertinggi PERDAMA USM, para alumni dan warga universiti.

Penasihat Utama PERDAMA USM, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar menyifatkan sambutan selama 44 tahun ini sebagai bukti kejayaan persatuan dalam membentuk identiti mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan, dan sahsiah.

Tambah beliau, persatuan itu telah menjadi wadah penting dalam pembangunan kebajikan, kesukarelawanan, dan khidmat bakti kepada negeri Pahang.

Yang Dipertua PERDAMA USM merangkap Pengarah Program, Nik Norhafizah Nik Mohamad Amin, melahirkan rasa bangga atas kesinambungan legasi persatuan yang berjaya dipertahankan merentas generasi sejak empat dekad lalu.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nyanyian serta penyampaian anugerah khas sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menyumbang kepada kecemerlangan PERDAMA USM.

Sambutan ini bukan sahaja menjadi kemuncak apresiasi terhadap sejarah persatuan, malah menyuntik semangat baharu kepada seluruh ahli untuk terus memperkukuh ukhuwah dan menabur khidmat bakti kepada universiti serta negeri Pahang.