TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Fasa Berkempen Calon MPP USM Sidang Akademik 2026/2027 Bermula, Persaingan Dijangka Sengit

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 29 Oktober 2026 :- Persediaan bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia Sidang Akademik 2026/2027 kini memasuki fasa penting susulan pengumuman rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus, Saudara Amirul Hakimi bin Mohd Kamel mengenai pecahan kerusi yang diperuntukkan mengikut pelbagai konstituensi.

Pengumuman ini dibuat dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 2, yang dihadiri oleh Ketua Pentadbir BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raffar dan turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa, Dr. Rais Abdul Latiff; Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Encik Prabu a/l Mogan; serta pegawai-pegawai BHEPA.

Proses demokrasi kampus kali ini menyaksikan sebanyak 85 kerusi keseluruhan dipertandingkan bagi mengisi Konstituensi Desasiswa, Konstituensi Pusat Pengajian, dan Konstituensi Umum.
Sebanyak 40 kerusi diperuntukkan bagi Konstituensi Desasiswa yang merangkumi 10 desasiswa di semua kampus utama universiti, termasuk Pelajar Tanpa Asrama (PETAS). Melalui agihan ini, setiap desasiswa memperuntukkan sebanyak 4 buah kerusi khas bagi mewakili kebajikan dan suara penuntut di kediaman masing-masing.

Bagi aspek akademik pula, Konstituensi Pusat Pengajian menawarkan sebanyak 35 kerusi secara keseluruhan. Pecahan kerusi ini dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu 30 kerusi bagi Ijazah Pertama dan 5 kerusi bagi Ijazah Tinggi.

Sementara itu, bagi mewakili kepimpinan secara menyeluruh di peringkat kampus dan cawangan, sebanyak 10 kerusi diperuntukkan di bawah Konstituensi Umum. Jumlah tersebut merangkumi 6 kerusi bagi Kampus Induk, serta masing-masing 1 kerusi untuk Kampus Kejuruteraan, Kampus Kesihatan, KLE-India, dan wakil Ijazah Tinggi yang mewakili ketiga-tiga kampus.

Dengan bermulanya fasa penamaan calon, persaingan di semua peringkat dijangka berlangsung dengan sengit. Sehubungan itu, semua calon diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Kampus.