Komponen Generik MyCSD : Keusahawanan




Kemeriahan Program Keusahawanan 3KPP26 USM Pacu Inovasi dan Kesenian
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 15 Jun 2026 :- Hubungan antara ilmu perniagaan, kreativiti dan pemerkasaan komuniti dizahirkan dengan jayanya menerusi penganjuran program keusahawanan siswa yang berlangsung meriah bermula 12-14 Jun 2026.
Program komprehensif yang telah melabuhkan tirai penutupannya semalam bagi sidang ini bukan sahaja memfokuskan kepada pemantapan kemahiran keusahawanan, malah turut mengintegrasikan elemen kebudayaan, kesenian, teknologi, dan gaya hidup holistik.
Menerusi sesi perkongsian eksklusif oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menerajui pembangunan industri francais negara, wakil PERNAS telah mengupas peluang pembiayaan, program latihan khusus, dan strategi melahirkan usahawan yang berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.
Suntikan inspirasi diteruskan lagi dengan sesi perkongsian ilmu keusahawanan yang menampilkan dua orang pelajar hebat, yang juga merupakan pemenang Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Kedua-dua ikon usahawan siswa ini berkongsi formula kejayaan serta strategi mendepani pasaran digital, sekaligus membakar semangat para peserta untuk menceburi bidang perniagaan.
Selain aspek teori, program ini turut memperkasakan kemahiran praktikal dan estetika peserta melalui pelbagai aktiviti hands-on antaranya termasuklah bengkel pembuatan sabun buatan tangan yang dikendalikan oleh EmpowerMom Creation, bengkel gubahan bunga yang mendedahkan teknik gubahan komersial untuk pasaran acara dan perayaan, ruang hub permainan digital dan pertandingan solekan yang mempamerkan daya kreativiti dan ketelitian para peserta.
Bagi menyuburkan lagi bakat seni, aktiviti kraftangan dan lukisan kanvas turut diadakan, yang bukan sahaja berfungsi sebagai terapi minda malah berpotensi untuk mengembangkan bakat peserta.
Kemuncak kemeriahan program diserikan dengan malam kesenian yang gilang-gemilang, menampilkan keindahan seni nyanyian dan tarian menerusi rangkaian persembahan memukau daripada pelajar, selain kemunculan istimewa artis terkenal yang berjaya menghidupkan suasana dan menggamit sorakan penonton di malam hari.



