TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kebudayaan

Serlah Bakat & Jati Diri Budaya: Mahasiswi USM Rangkul Mahkota Ratu Loy Krathong 2026

Oleh : Thathita Chanthaksirik a/p Surikya
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 16 November 2026 – Mahasiswi tahun tiga Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Thathita Chanthaksirik a/p Surikya, mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Ratu Loy Krathong bersempena Festival Loy Krathong 2026 di Auto-City, Juru, baru-baru ini.

Kemenangan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Gabungan Usahawan Siam Malaysia (GUSM) selama tiga hari bermula 13 November lalu itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM5,000, sebuah trofi, sijil penghargaan serta mahkota kejuaraan.

Thathita yang juga Naib Yang Dipertua I Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Siam USM (SUKASS) berjaya menambat hati barisan juri menerusi keanggunan peragaan, keyakinan diri dan ketajaman minda dalam sesi soal jawab, selain memperoleh sokongan padu melalui undian orang ramai.

Tata Ratu Loy Kratong 3 B

Tata Ratu Loy Kratong

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, beliau menyifatkannya sebagai satu penghormatan bermakna yang turut dipacu oleh pengalaman kepimpinan serta pendedahan aktiviti kebudayaan sepanjang pengajiannya di kampus.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya menterjemahkan aspek kebudayaan yang digariskan dalam komponen generik MyCSD agar seimbang dari segi intelek dan jati diri warisan bangsa di peringkat komuniti,” katanya.

Sementara itu, Presiden GUSM, Richard Ikim memuji penglibatan aktif golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam memastikan kelangsungan seni budaya tradisional terus terpelihara dan dihargai generasi muda.

"Penglibatan generasi berilmu daripada institusi pengajian tinggi dalam festival sebegini memberi nafas baharu kepada usaha pemeliharaan warisan agar adat resam masyarakat terus subur, difahami dan dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat," ujarnya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penasihat GUSM, Senator Tuan Niran, barisan jawatankuasa penganjur serta wakil syarikat penaja yang komited menyokong pemerkasaan budaya tempatan.

Untuk rekod, pertandingan berprestij ini menjadi acara kemuncak kepada perayaan tradisi terpenting masyarakat Siam yang diraikan sebagai tanda kesyukuran dan permohonan maaf kepada dewi air (Phra Mae Khongkha) menerusi upacara menghanyutkan krathong iaitu bekas hiasan bunga dan lilin.