TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Hari Kesihatan Mental Sedunia : USM Perkukuh Peranan Mahasiswa sebagai Rakan Sokongan Psikososial

Oleh : Unit Kaunseling BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 11 Oktober 2026 :- Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh agenda kesejahteraan mental warga kampus menerusi penganjuran Bootcamp: Psychosocial Support for Peers oleh Unit Kaunseling, BHEPA di Bilik Aktiviti Pelajar, KOMCA kelmarin.

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran sokongan psikososial dalam kalangan sukarelawan mahasiswa bagi memahami cabaran emosi rakan sebaya, menyediakan sokongan awal dan mengenal pasti keperluan bantuan profesional, sekali gus memupuk budaya kampus yang saling mengambil berat, terbuka dan bebas stigma.

Pendekatan tersebut dilihat penting dalam membentuk komuniti mahasiswa yang lebih peka dan prihatin terhadap keperluan emosi serta psikososial rakan sebaya.
Selaras dengan pandangan Ketua Pentadbir BHEPA USM, Puan Siti Aisyah Abdul Raffar melihat inisiatif ini sebagai langkah memperkukuh keupayaan mahasiswa untuk saling menyokong dalam menghadapi cabaran kehidupan di universiti.

Material Director, Boston Scientific Medical Device, Encik Cheong Yew Ooi, turut mengakui kepentingan memperkasa kemahiran sokongan psikososial dalam kalangan mahasiswa sebagai langkah awal membantu rakan sebaya sebelum mereka mendapatkan bantuan profesional.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pendaftar Unit Kaunseling BHEPA, Puan Raja Salwati Raja Othman, bersama barisan pegawai Unit Kaunseling BHEPA yang memberi sokongan terhadap usaha memperkukuh kapasiti mahasiswa sebagai rakan sokongan psikososial di kampus.

Bagi memperkukuh penguasaan kemahiran berkenaan, program ini turut menampilkan kepakaran Dato’ Dr. Florence Sinniah daripada Pertubuhan Kebajikan Sneham Malaysia menerusi lima modul yang merangkumi asas sokongan kesihatan mental, komunikasi dan pendengaran aktif, Bantuan Psikologi Awal (Psychological First Aid, PFA) dan pengurusan krisis, laluan rujukan serta penjagaan kendiri sukarelawan.

Selari dengan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, USM melalui Unit Kaunseling BHEPA akan terus memperkasa kesejahteraan mahasiswa menerusi pendekatan pencegahan, sokongan awal dan akses kepada bantuan profesional, sekali gus memperkukuh ekosistem kampus yang lebih prihatin, responsif dan sejahtera.