Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Dua Mahasiswa USM Cemerlang Dalam University Leadership Development Programme (ULDP) Cohort 16 2026

Oleh : Nabilah Atiqah Azuki, Tahun Akhir, Pusat Pengajian Sains Komputer
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 7 Ogos 2026 – Dua mahasiswa Universiti Sains Malaysia melakar kejayaan membanggakan apabila terpilih untuk  mengikuti program University Leadership Development Programme (ULDP) Cohort 16 2026.

Program intensif selama dua minggu anjuran Emerging Leaders Asia (ELA) di bawah Axiata Young Talent Programme (AYTP) itu berlangsung dari 18 hingga 31 Julai 2026 di Kuala Lumpur telah menghimpunkan mahasiswa Malaysia daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), serta universiti luar negara.
Dalam program tersebut, Nabilah Atiqah Binti Azuki, pelajar Tahun Akhir, Pusat Pengajian Sains Komputer telah mengharumkan nama universiti apabila disenaraikan sebagai Top 25 Performers. Beliau turut memenangi anugerah Best Performance for Themed Dinner dan pasukannya turut dinobatkan sebagai Naib Johan Best House.

Seorang lagi wakil USM, Nirmalram A/L Manoharan, pelajar Tahun Akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik turut mencatat kejayaan cemerlang apabila pasukannya berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori Best House.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation, Encik Mohamad Kamal Nawawi, menekankan kepentingan melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing serta bersedia menghadapi landskap perniagaan masa hadapan.

ULDP direka khusus untuk membentuk bakal pemimpin masa hadapan dengan mendedahkan peserta kepada kemahiran kepimpinan, pengetahuan perniagaan, dan kompetensi profesional bagi mendepani cabaran dunia korporat yang dinamik.

Sepanjang program, para peserta menerima bimbingan daripada ThinkCodex serta berpeluang menimba pengalaman langsung menerusi sesi perkongsian bersama tokoh industri terkemuka, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Borong, Lennise Ng; Ketua Pegawai Eksekutif OpenMinds Group, Jan Wong; dan Ketua Pegawai Eksekutif BloomThis, Giden Lim.

Peserta turut mengikuti pelbagai modul yang memfokuskan kepada pemikiran strategik, pengurusan manusia, komunikasi, pemikiran kritikal, kreativiti, kolaborasi, serta orientasi pelanggan.

Selain itu, mereka didedahkan kepada konsep perniagaan moden dan kemahiran digital seperti kecerdasan buatan generatif (Generative AI), analitik data, pemasaran digital, dan kewangan digital bagi meningkatkan kebolehpasaran sebagai pemimpin masa hadapan.