TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Debat dan Pidato

Pertandingan Debat NADI Perubatan dan Kesihatan_17112026

Oleh : Pasukan Debat USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Pulau Pinang, 17 November 2026 – Kelab Debat dan Pengucapan Awam Universiti Sains Malaysia melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir sekali gus berada dalam kelompok lima pasukan terbaik.

Lebih membanggakan apabila mereka turut merangkul anugerah Pendebat Terbaik Suku Akhir pada Pertandingan Debat NADI Perubatan dan Kesihatan di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pertandingan selama tiga hari bermula 13 November 2026, anjuran bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut memperkenalkan format baharu, iaitu Emergency Response Debate (ERD) di peringkat kalah mati yang menguji keupayaan peserta berhujah secara spontan tanpa tempoh persediaan.

Kejayaan itu dipacu oleh aksi konsisten pasukan debat USM yang dibarisi Iffah Adani Kamarul Hisyam, tahun 4, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Muhammad Al-Baqir Tajri, tahun 2, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Nurul Adilah Muhammad Rizaki , tahun 5, Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Wan Muhammad Faqif, tahun 1, Pusat Pengajian Sains Perubatan sejak pusingan awal apabila mencatatkan tiga kemenangan daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga kelima keseluruhan daripada 26 pasukan institusi pengajian tinggi yang bertanding.
Aksi memukau Iffah Adani menjadi tumpuan utama di peringkat suku akhir apabila ketajaman hujah serta penguasaan isu perubatan secara spontan melayakkannya dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik perlawanan, sekali gus memacu USM menundukkan Universiti Malaya.

Biarpun terpaksa akur tewas tipis di peringkat separuh akhir kepada pasukan tuan rumah dalam saingan yang berlangsung sengit, pencapaian ini tetap membanggakan serta membuktikan ketajaman pemikiran kritis mahasiswa USM dalam menguasai isu perubatan dan kesihatan di pentas kebangsaan.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa USM menguasai wacana perubatan secara spontan, malah turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan dalam melahirkan generasi muda yang peka terhadap isu kesihatan awam demi kesejahteraan masyarakat.