TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Dalam Tangisan Ada Kemenangan : Detik Syukur Suara Kampus Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2026/2027

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 5 November 2026 :- Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia Sidang Akademik 2026/2027 mencatatkan peratusan memilih sebanyak 65.53%, melibatkan 10,061 pelajar daripada 15,353 pemilih yang layak di seluruh kampus USM.

Sejurus proses pengundian tamat, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengumumkan keputusan penuh bagi kerusi yang dipertandingkan merangkumi konstituensi umum, pusat pengajian, dan desasiswa.

Beliau menaruh harapan tinggi agar barisan kepimpinan baharu yang diberi mandat dapat membawa suara mahasiswa dengan penuh dedikasi.

"Semoga barisan calon yang terpilih dapat memberikan komitmen sepenuh hati dalam memperjuangkan kebajikan serta keperluan pelajar. Galaslah amanah ini dengan cemerlang demi membawa impak positif kepada universiti," tegas beliau.
Bagi konstituensi desasiswa, seramai 2,745 daripada 4,292 pelajar yang layak telah melaksanakan tanggungjawab memilih, yang merekodkan peratusan memilih sebanyak 63.96 peratus.

Persaingan tersebut melibatkan tiga desasiswa  yang masih mempunyai saingan calon iaitu Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan, Desasiswa Indah Kembara, dan Desasiswa Murni Nurani.

Proses pemilihan secara dalam talian menerusi portal Kampus Online (e-PILIH) yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang itu berjalan lancar dengan penyelarasan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) USM serta sokongan teknikal Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Majlis pengumuman keputusan rasmi yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS 1) turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Ketua Pentadbir BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raffar; Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff; Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Encik Prabu a/l Mogan; serta pegawai-pegawai kanan BHEPA.

Seluruh warga Universiti Sains Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang berjaya terpilih menerajui kepimpinan mahasiswa bagi sidang ini. Pembentukan kabinet Majlis Tertinggi MPP baharu dijadualkan bakal diumumkan dalam masa terdekat.