TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Bukan Sekadar Urus Pendaftaran, Mahasiswa Senior USM Manifestasi Kepimpinan H.E.B.A.T.

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 28 September 2026 :- Di sebalik lancarnya bermula dari urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027, terselitnya keringat dan semangat berpasukan mahasiswa senior yang menterjemahkan erti perpaduan keluarga USM yang sebenar.

Pemberian ruang dan kepercayaan kepada mahasiswa untuk menguruskan program besar merupakan teras pemerkasaan mahasiswa serta tradisi kepimpinan yang penting di institusi pengajian tinggi bertujuan untuk membina keyakinan diri, kemahiran insaniah, dan pembentukan integriti.

Sebagai persediaan, seramai 243 mahasiswa Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) daripada ketiga-tiga kampus utama telah dipilih menghadirkan diri ke kem latihan di KEDA Resort, Bendang Man, Sik, Kedah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni pada 5 hingga 7 September 2026 bagi menguji ketahanan mental dan fizikal sebelum menyambut pelajar kedatangan pelajar baharu.

Sementara itu, seramai 48 mahasiswa USM Buddies dari Pejabat Antarabangsa turut menyertai kem latihan di White Resort, Balik Pulau pada 2 hingga 4 September 2026 bagi mempersiapkan diri menguruskan kemasukan pelajar antarabangsa.
Melalui fasa mesyuarat penyelarasan & pembahagian tugas, taklimat dalaman sehinggalah kepada penyediaan logistik, mereka mula berkhidmat dari awal pagi hinggalah kepada perjumpaan akhir setiap malam yang diadakan setiap hari bagi memperkemas laporan harian pergerakan pelajar baharu.

Berbekalkan semangat waja dan informasi penting yang dipupuk melalui kem jati diri, barisan mahasiswa ini bersedia menjadi obor yang membakar semangat serta membantu hampir 5200 pelajar baharu meneroka perjalanan akademik setibanya mereka di ketiga-tiga kampus utama Universiti Sains Malaysia.

Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni berkata sebagai duta kecil universiti, khidmat pelajar PPSL dan USM Buddies bukan hanya setakat menguruskan Minggu Siswa Lestari orientasi pelajar yang berlangsung selama 2 minggu tetapi turut menjawab sebarang persoalan asas berkaitan kehidupan di kampus.

“Gerak kerja ini bukan sahaja melancarkan proses pendaftaran dan aktiviti di desa mahupun di dewan, malah memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, dan semangat keluarga USM.

“Jutaan terima kasih kepada semua pelajar PPSL dan USM Buddies serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung, jasa anda dalam membantu pihak universiti mencerminkan komitmen anda berpaksikan agenda H.E.B.A.T. universiti,” ujarnya lagi.