Skip to main content

G9

Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta dan Inovasi

BizMaker 2026 Lonjak Potensi 'Sportech' dalam Kalangan Mahasiswa IPT

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG 7 Jun 2026 :- BizMaker 2026 meneruskan legasinya sebagai program tahunan anjuran Persatuan Pengurusan Universiti Sains Malaysia yang berperanan memperkasa kemahiran mahasiswa dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Bermula seawal April 2026, BizMaker 2026 telah melalui beberapa fasa pembangunan yang dirangka secara sistematik bagi membimbing peserta dalam memperkukuh idea, strategi dan model perniagaan masing-masing sebelum mencapai kemuncaknya menerusi sesi Biz Pitching yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA.

Bertemakan “Sportech 360: Performance. Innovation. Impact.”,pertandingan kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 10 pasukan daripada IPT seluruh negara.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Madya Dr. Siti Rohaida Mohamed Zainal menyatakan bahawa dalam dunia hari ini, kejayaan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh kemampuan mencari jawapan yang tepat, tetapi juga melalui keupayaan mengemukakan persoalan yang betul serta menyelesaikan masalah yang signifikan.

“Mahasiswa diberikan platform untuk menguji idea, berhadapan dengan ketidaktentuan serta mengubah cabaran yang dihadapi kepada peluang pembelajaran yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, penasihat persatuan, Dr. Jasmine Yeap Ai Leen menegaskan bahawa BizMaker berfungsi sebagai platform yang membolehkan mahasiswa meneroka dan mengembangkan idea perniagaan melalui penyediaan cadangan perniagaan yang inovatif.

Selaku Pengarah Projek BizMaker 2026, saudara Choong Kai Wen turut menyatakan bahawa pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi bekalan berharga yang membantu peserta mengharungi perjalanan akademik serta membina kerjaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Idea perniagaan berimpak tinggi yang diketengahkan berjaya mengangkat pasukan LLWTT, gabungan mahasiswa dari UM dan UPM, sebagai juara BizMaker 2026 dengan memperoleh hadiah wang tunai RM2,500.

Pasukan Bizzy B dari Sunway College dan OnlyFish dari Universiti UTAR masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan hadiah wang tunai RM1,500 dan RM500.

BizMaker 2026 diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Encik Samuel Siew, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Momentum (Thud Thud Sdn. Bhd.), Cik Tay Li Neo, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan IGNITX, Encik Venu Ramadass, Pengarah Urusan RSM Sport Sdn. Bhd., serta Cik Ng Su Tien, Pengurus Besar MYLAPS Asia, MYLAPS Sports Technology.

Penganjuran BizMaker 2026 sekali lagi membuktikan komitmen USM dalam membangunkan bakat mahasiswa secara holistik melalui pendidikan berkualiti dan pemerkasaan inovasi selaras dengan SDG 9: Industri, Inovasi dan Prasarana melalui terasnya dalam usaha meningkatkan inovasi penyelidikan saintifik, menaik taraf keupayaan teknologi sektor industri, dan menggalakkan inovasi melalui pelaburan.