Skip to main content

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bergambar bersama penerima bantuan zakat dan barisan dermawan alumni.

Zakat Dermawan Alumni USM Suntik Semangat dan Ringankan Beban Mahasiswa

Oleh : Siti Ruhaida Muhamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 18 April 2026 – Inisiatif Zakat Dermawan Alumni kembali menyinari perjalanan akademik pelajar yang memerlukan, membuktikan bahawa ikatan kekeluargaan "Kami Memimpin" tidak pernah pudar ditelan zaman.

Keprihatinan yang dizahirkan mencerminkan nilai kemanusiaan, solidariti dan tanggungjawab sosial yang terus subur dalam kalangan alumni demi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

Seramai 396 orang pelajar Universiti Sains Malaysia daripada keluarga berpendapatan rendah (B1 dan B2), telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM158,400, merangkumi agihan sebanyak RM400 kepada setiap penerima, sekali gus menjadi suntikan bermakna dalam meringankan beban kewangan serta menyemarakkan semangat mahasiswa untuk terus melangkah maju dalam pengajian.

Menyempurnakan mandat sebagai perasmi, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih kepada Dato’ Haji Ishak Haji Mohamed dan Tuan Haji Abu Samah Haji Samsuri, dua tokoh berjiwa besar yang tidak pernah jemu menabur bakti serta menggerakkan usaha demi kesejahteraan mahasiswa.
"Ukuran sebenar sumbangan ini bukanlah pada nilai ringgit semata-mata, sebaliknya pada semangat kebersamaan. Inilah manifestasi nilai kemanusiaan yang tinggi, di mana alumni kembali menabur bakti ke 'menara gading' yang pernah membesarkan mereka” ujar beliau.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan universiti dan tokoh penting iaitu Encik Mohd Ali Mohd Salleh, Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman, Presiden Persatuan Alumni USM dan Datin Rohayati Ismail, mewakili Yang Dihormati Toh Indera Jaya Dato’ Haji Ishak Haji Mohamed, Penyelaras Majlis Bantuan Zakat Dermawan Alumni dan rakan-rakan kepada pelajar USM.

Inisiatif ini memahat bukti bahawa utuhnya jaringan alumni bukan sekadar ikatan persaudaraan, tetapi nadi yang meniupkan roh harapan dalam jiwa mahasiswa.

Tiupan semangat ini diharapkan terus konsisten dalam memastikan tiada mimpi yang terpadam, tiada pelajar yang tercicir, dan setiap cita-cita diberi ruang seluasnya untuk digapai.