PULAU PINANG, 23 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh komitmennya dalam memelihara kebajikan mahasiswa berkeperluan khas menerusi pelaksanaan dasar komprehensif Kampus Mesra OKU yang menggariskan lima tumpuan kebajikan utama demi memastikan kesamarataan hak serta peluang pembelajaran yang inklusif.
Inisiatif strategik tersebut diperincikan dalam Program Perjumpaan Pelajar OKU USM bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang dihadiri oleh lebih 30 mahasiswa kategori berkenaan di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya (KOMCA).
Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Encik Shukeri A. Rahaman menegaskan bahawa institusi menara gading itu sentiasa meletakkan agenda pemerkasaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai keutamaan melalui penyediaan ekosistem sokongan menyeluruh merangkumi aspek akademik, prasarana, dan emosi.
"USM komited sepenuhnya dalam merealisasikan sebuah kampus yang inklusif. Dasar komprehensif yang kami gubal ini bukan sahaja menjamin hak kesamarataan, malah menyokong segenap aspek pengajian, kebajikan fizikal, serta aksesibiliti tanpa halangan bagi membolehkan mereka bersaing secara sihat," katanya lagi.
Program kendalian Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah OKU & Siswa Sulung BHEPA itu memperincikan lima dimensi kebajikan berstruktur yang bakal memanfaatkan mahasiswa terbabit:
-
Kebajikan Akademik : Menyediakan sokongan pembelajaran khusus, pengurusan kemudahan mesra pengguna di Perpustakaan Hamzah Sendut, serta bimbingan rakan peneman menerusi sistem Buddies OKU.
-
Kebajikan Kewangan : Menyelaras dan memudah cara akses kepada penawaran biasiswa, agihan zakat, sumbangan khas, serta tabung bantuan kecemasan.
-
Kesihatan dan Kesejahteraan Mental : Membuka akses penuh kepada perkhidmatan kaunseling profesional, aktiviti intervensi kesihatan berkala, dan sokongan psikologi.
-
Penginapan dan Fasiliti : Menjamin penempatan bilik asrama aras bawah yang dilengkapi reka bentuk sejagat (universal design) bagi menyokong mobiliti pelajar.
-
Kebajikan Sosial dan Ekonomi : Membuka ruang penyertaan dalam aktiviti kebudayaan, pemerkasaan bakat, serta program sosioekonomi.