Skip to main content

G4

USM PULAU PINANG 12 April 2026 :- Inisiatif program dalam bidang sains khususnya fizik terus dilaksanakan malah turut membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka laluan pembelajaran serta potensi kerjaya masa hadapan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan bakat berkemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam bidang STEM.

Seiring dengan aspirasi tersebut, Program PHYSXGEARUP: Bridging Young Minds with MRSM Balik Pulau telah berjaya dilaksanakan pada 11 April bertempat di MRSM Balik Pulau dengan penyertaan seramai 30 orang pelajar daripada Pusat Pengajian Sains Fizik serta kira-kira 100 orang pelajar dari MRSM Balik Pulau.

Menurut Encik Zulkifli Abdul Rahim selaku Ketua Jabatan Sains, penganjuran program seumpama ini membuka peluang luas kepada pelajar untuk menimba ilmu di luar bilik darjah, di samping menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pendedahan awal dalam bidang sains, khususnya fizik, turut membantu pelajar memahami kepentingan inovasi dan teknologi, sekali gus memupuk minat untuk terus menerokai bidang tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.”

Dipimpin oleh Amirul Mukminin Nor Akbar selaku Pengarah Program, inisiatif ini memberi penekanan kepada tiga elemen utama HEBAT iaitu Holistic, Balanced dan Thinking, yang merangkumi kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran saintifik serta pembelajaran berkesan dalam membentuk pelajar secara menyeluruh dan seimbang. Pendekatan ini juga selari dengan keperluan pembangunan modal insan negara yang menekankan keupayaan berfikir secara kritikal, kreatif dan adaptif dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Sepanjang pelaksanaannya, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti pameran, mini treasure hunt serta sesi perkongsian berkaitan laluan pengajian dalam bidang fizik di Universiti Sains Malaysia. Pendekatan ini bukan sahaja menyemarakkan keterujaan, malah memberikan gambaran yang lebih jelas tentang aplikasi fizik dalam dunia moden, termasuk bidang seperti tenaga, perubatan, teknologi dan penyelidikan saintifik yang menjadi antara tunjang utama pembangunan negara berteraskan ilmu dan inovasi.

Teks/foto: Pusat Pengajian Sains Fizik
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA