USM MENJADI UNIVERSITI PERTAMA LIBATKAN PELAJAR SULUNG DALAM PROGRAM MCMC AI TEACH SISWA SULUNG
20 April 2025 :- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni telah mengadakan program MCMC AI Teach Siswa Sulung selama dua hari bermula 19 April 2025 di Dewan Pembangunan Siswa 1 dan Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa USM.
Dengan penglibatan seramai 80 orang pelajar, program dengan kerjasama strategik antara MCMC, Microsoft Malaysia dan syarikat Biji-Biji Initiative ini merupakan idea dan inisiatif daripada Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM dengan tujuan untuk memperkasakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang kecerdasan buatan atau dikenali sebagai AI selain untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya mereka yang berasal daripada latar belakang sosioekonomi yang mencabar.
Hadir merasmikan program adalah Prof. Dr. Habibah A. Wahab, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan & Inovasi mewakili Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, bersama-sama Tuan Haji Muhammad Razali Anuar, Ketua Pegawai Pembangunan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Encik Mohd Fitri Hashim, Pengarah Negeri Pulau Pinang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Cik Nurul Atikah Samelan, Pegawai Tadbir Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Georgetown dan Encik Rashvin Pal Singh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative.
Habibah dalam ucapannya, melihat program ini menyediakan platform pembelajaran interaktif yang akan membekalkan peserta dengan pelbagai manfaat seperti pemantapan kemahiran digital, pendedahan kepada trend dan aplikasi terkini dalam AI, latihan praktikal kerjaya secara langsung dalam penggunaan AI selain meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membina jaringan profesional dengan syarikat dan industri.
Sementara itu, Fitri mewakili pihak MCMC, merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak USM atas kesudian untuk bekerjasama dengan MCMC menerusi Program MCMC Microsoft AI Teach yang memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir dimana melalui pelaksanaan inisiatif ini, seramai 127 orang peserta telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan dalam tempoh purata hanya 32 hari selepas tamat latihan.
Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 : Pendidikan Berkualiti, program ini bukan sahaja memperkasa mahasiswa dengan kemahiran masa depan, malah mencerminkan hubungan strategik antara universiti, industri dan pihak kerajaan dalam memperkukuh pembangunan insan di negara ini.