Skip to main content

STATUS PELAJAR OKU (PENGLIHATAN) TAK HALANG HAFIZAH KEJAR IMPIAN

20 Oktober 2024 :- Setinggi-tinggi tahniah kepada Saudari Nur Hafizah Saharuddin, pelajar tahun 2 Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan atas kejayaan meraih empat pingat acara para catur pada kejohanan Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung pada 22 hingga 28 September 2024.
Hafizah, anak jati Negeri Sembilan yang mewakili atlet kontinjen Para SUKMA telah memenangi 4 pingat daripada 12 acara yang dipertandingkan iaitu pingat perak kategori Rapid Chess Individu Wanita B1 (Para Catur) dan gangsa pada acara Individu (B1) Wanita Standard manakala bagi kategori berkumpulan pula, Hafizah bersama rakannya telah meraih pingat perak bagi acara Standard Chess Wanita Berkumpulan (B1) dan Rapid Chess Team Wanita B1.
Ketika ditemui, Hafizah yang ditemani oleh sahabatnya Nur Intan Solehah Awang Isa, pelajar tahun 2 Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menceritakan bahawa beliau mula berkecimpung dalam permainan catur secara hobi bermula seawal usia 12 tahun. Pada ketika itu Hafizah banyak menyertai kejohanan di peringkat sekolah.
Berbekalkan latihan demi latihan, pada usia 19 tahun Hafizah meneruskan kariernya sebagai seorang pemain catur turut mewakili negeri Melaka apabila memenangi pingat gangsa pada kejohanan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Ke-20 tahun 2022 yang berlangsung Kuala Lumpur.
Hafizah yang dibimbing oleh Encik Mohd Johar Bin Johari, Timbalan Presiden Persatuan Catur OKU Malaysia yang juga seorang OKU penglihatan pernah mendapat tawaran dari Majlis Sukan Negara bagi menyertai Sukan Para ASEAN (APG) ke-12, Kemboja yang berlangsung pada 3-9 Jun 2023. Beliau turut berazam untuk menyertai dan memenangi pingat pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-13 yang dijadualkan akan berlangsung di Nakhon Ratchasima (Korat), Thailand dari 20-26 Januari 2026.
Seluruh warga USM mengucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada saudari Hafizah dan merasa bangga atas keazaman dan kejayaan yang dimenanginya.