SINAR KEBERSAMAAN INSAN ISTIMEWA : MAHASISWA USM SANTUNI KOMUNITI OKU
SK TUNKU ABDUL HALIM, ALOR SETAR 3 Julai 2025 - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan individu yang mempunyai kekurangan sama ada dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang boleh menyekat penyertaan mereka secara penuh dan efektif dalam masyarakat. Oleh itu, sokongan serta peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti sosial amat penting bagi memastikan mereka tidak terpinggir, selain dapat membina keyakinan diri dan rasa dihargai oleh komuniti.
Sehubungan itu, Unit Kebajikan Pelajar & OKU BHEPA telah menganjurkan program Sinar Kebersamaan Insan Istimewa yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Halim, Alor Setar.
Hadir pada program ini sekaligus merasmikan majlis penutupan ialah, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar dan OKU BHEPA yang mewakili Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM. Turut hadir bersama ialah Tuan Haji Shahidan Saad, YDP Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Kedah merangkap wakil Pusat Jagaan Harian Sinar Harapan, Alor Setar, Puan Faridah Salleh, Guru Besar SK Tunku Abdul Halim serta Encik Mohamed Sutan Nasurdin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Tunku Abdul Halim.
Dalam ucapannya, Sheilawanis menegaskan bahawa inisiatif seperti ini menjadi jambatan yang menghubungkan institusi pendidikan tinggi dan komuniti luar, khususnya dalam mewujudkan rangkaian hubungan strategik antara USM dan Pusat Jagaan Harian Sinar Harapan, demi memperkukuhkan kerjasama jangka panjang dalam bidang pembangunan komuniti dan kebajikan sosial.
Sementara itu, sebagai Guru Besar, Faridah turut menyatakan rasa berbesar hati apabila pihak USM dan Pusat Jagaan Harian Sinar Harapan memilih sekolah ini sebagai destinasi pelaksanaan program yang memberi seribu satu kebaikan dan beliau berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi agar lebih ramai pelajar istimewa dapat merasai manfaatnya.
Program ini turut terbahagi kepada tiga kelompok aktiviti atau Latihan Dalam Kumpulan (LDK) iaitu Serlahkan Suaramu dan Sehati Berdansa, Bola Beracun, serta Art Therapy. Aktiviti-aktiviti ini dijalankan dengan tujuan untuk mengasah bakat kreatif, memberi keyakinan diri kepada golongan istimewa ini.