Skip to main content

PROGRAM PALs USM CUNGKIL POTENSI KEPIMPINAN MAHASISWA PRIHATIN OKU

KARANGAN, KEDAH, 8 Ogos 2025 – PALs for Leadership Development and Self Discovery merupakan sebuah inisiatif anjuran Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa & Anugerah – OKU & Siswa Sulung, BHEPA, USM. Program ini bertujuan membudayakan nilai inklusif dan prihatin terhadap mahasiswa OKU dalam komuniti kampus.
Berlangsung selama tiga hari bermula 5 Ogos 2025 di Sedim Riverside Resort, Karangan, Kedah, program ini memberi fokus kepada pelantikan rakan sebaya (PALs) sebagai strategi utama dalam menyokong pengalaman pembelajaran yang setara, selamat dan bermakna bagi siswa OKU.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM dan menyampaikan watikah pelantikan kepada 22 mahasiswa sebagai ahli PALs. Turut hadir ialah Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar dan OKU, Dr. Syazwani Drani, pengubal modul dan penceramah jemputan serta tujuh exco Gerakan Mahasiswa Istimewa (GMI) selaku fasilitator.
Program ini turut menampilkan Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Prof. Madya Dr. Low Hui Min, pensyarah PPIP dan Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Penasihat GMI USM sebagai penceramah jemputan yang berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang program.
Dalam ucapannya, Azlan menegaskan bahawa program ini merupakan langkah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan sekali gus menyumbang ke arah agenda pembangunan global.
Antara pengisian utama program termasuk enam modul berfokus kepada peranan PALs, komunikasi inklusif, pengetahuan asas OKU, simulasi praktikal dan sokongan kesihatan mental. Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut dilaksanakan bagi mengasah kemahiran kerjasama, komunikasi dan pengurusan emosi dalam kalangan peserta.
Menambah nilai kepada program, sesi inspirasi turut diadakan bersama Encik Nur Arif Jasmin individu istimewa autisme yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta penulis buku Fiqh Autisme. Beliau ditemani oleh Puan Nur Liyana Abdul Halil, Pustakawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga merupakan ‘buddies’ beliau. Kedua-duanya berkongsi kisah sebenar cabaran dan kejayaan individu autisme dalam dunia akademik dan kerjaya.