PROGRAM OUTREACH OKU (KESUMA) KONGSI MAKLUMAT TERKINI KESEJAHTERAAN DAN PEMBANGUNAN PELAJAR OKU : SDG 10
25 Oktober 2024 :- Program Outreach OKU di bawah Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Uapaya (MKBOKU), anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan libatsama Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa USM.
Program ini diadakan bertujuan untuk berkongsi maklumat terkini tentang perkhidmatan yang ditawarkan melalui perancangan pembangunan dan kesejahteraan bagi golongan OKU agar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efektif.
Sesuai dengan Matlamat Pembangunan Mampan 10 : Mengurangkan Ketidaksamarataan (SDG 10) melalui sasarannya dalam memastikan peluang yang sama rata turut diberikan dalam mengurangkan diskriminasi.
Hadir merasmikan program ialah Dr. Ajitpal Sigh A/L Santokh Singh, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Dasar Perburuhan Kementerian Sumber Manusia dan turut dihadiri bersama oleh Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni.
Ajitpal dalam ucapannya turut memperkenalkan ‘MyFutureJobs’, iaitu sebuah portal yang dibangunkan untuk pencari kerja termasuk golongan OKU.
Kementerian Sumber Manusia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program melalui National Employment Services, PERKESO.
“Sehingga 27 September 2024, sebanyak lebih 21 ribu orang pencari kerja di bawah golongan OKU telah berdaftar dengan portal ‘MyFutureJobs’ dan sebanyak 11, 658 berjaya mendapatkan pekerjaan melalui Program Penempatan Pekerjaan dibawah bantuan PERKESO,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Shaharum dalam ucapannya turut menekankan bahawa USM amat cakna dan prihatin terhadap pelajar OKU. Pelbagai program anjuran persatuan pelajar, kemudahan prasarana di desasiswa dan pusat tanggungjawab lain juga dibangunkan bagi memberikan fokus yang khusus kepada pelajar OKU dalam memastikan mereka tidak dipinggirkan demi untuk mendapatkan pendidikan berkualiti di sepanjang mereka berada di dalam kampus.
Tambah beliau lagi, USM juga menubuhkan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus Induk USM sejak 2019 lagi bagi memperkasa dan meningkatkan keupayaan anak-anak istimewa dan ibu bapa ke arah kehidupan yang sejahtera melalui kaedah terapi dan intervensi awal (early intervention).
Turut diadakan adalah sesi ceramah ringkas dan soal jawab oleh Encik Wan Ismail Wan Zakaria, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Puan Nur Fathiyah binti Ahmad, Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO dan Ir. Ts. Shahrul Azhar Mustaffa, Ketua Seksyen Risiko Khas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Turut hadir pada program ini ialah, Puan Noraziana Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Dr. Syazwani Drani, Pengerusi PPDK Kampus Induk USM merangkap Anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU BHEPA, Puan Nurul Izzati Rozali, Pemangku Penggawa Desasiswa Aman Damai, barisan pegawai dan staf KESUMA, USM dan UUM, wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Interim Sidang Akademik 2023/2024 USM, wakil pelajar PPSL Induk, PERKESO serta mahasiswa dan mahasiswa USM dan UUM.