PERTEMUAN PELAJAR OKU BERSAMA BHEPA TERAPKAN PERLINDUNGAN KESIHATAN DAN CAPAIAN PENDIDIKAN BERKUALITI
16 Oktober 2024 :- Pertemuan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni bersama pelajar OKU USM bukanlah pertama kali dibuat untuk membincangkan dan melihat dari dekat bagaimana isu-isu yang berkaitan pelajar kelainan upaya dapat dibantu dan diperkasakan secara berterusan terutamanya untuk membolehkan mereka berdikari dalam menghadapi masa hadapan.
Untuk mencapai perlindungan kesihatan sejagat melalui SDG 3 : Kesihatan dan Kesejahteraan Baik serta memastikan pelajar OKU USM terus mendapatkan pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama (SDG 4), USM telah membelanjakan jutaan ringgit bagi pembinaan seperti ‘ramps, besi ‘railing’ di tangga-tanga dan tandas khas untuk OKU yang melibatkan kawasan perpustakaan, Dewan Tuanku Syed Putra, dewan-dewan kuliah di sekitar kampus.
Penempatan khas di Desasiswa Aman Damai turut di naik taraf sebagai sebuah desasiswa khas untuk OKU dengan infrastruktur dalaman yang dilengkapi fasiliti asas OKU fizikal serta bebas halangan.
Pada sidang ini, pertemuan pelajar OKU diteruskan lagi bertempat di Dewan Pembangunan Pelajar (DPS 1), KOMCA. Hadir merasmikan program penutup ialah Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM.
Shaharum yang juga merupakan Pengerusi Kluster OKU USM turut memaklumkan bahawa pelajar OKU boleh memberi cadangan penambahbaikan yang boleh membantu mereka supaya dapat hidup selesa dan mengikuti pembelajaran dengan baik.
“Fokus kepada pelajaran, sertai aktiviti persatuan dan anggap setiap cabaran yang dihadapi itu sebagai sebahagian daripada latihan. Jika ada keperluan, pelajar boleh maklumkan kepada Unit Kebajikan Pelajar & OKU BHEPA, ujarnya lagi.
Turut memberikan taklimat ringkas adalah Encik Shahriza Fadly Misaridin, Ketua Bahagian Korporat & Khidmat Pelanggan mewakili Puan Arinawati Ayob, Ketua Pustakawan USM, Dr. Syazwani Drani, Ketua Program PPDK, Kampus Induk, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff, Pengarah Pusat Sejahtera, Encik Firdaus Haji Husin, Penolong Pegawai Keselamatan mewakili Encik Mohammad Kasni Ismail, Pengarah Jabatan Keselamatan, Cik Shielawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU, BHEPA.
Pelantikan ahli baharu Majlis Tertinggi Sekretariat Insan Istimewa untuk Sidang Akademik 2024/2025 turut dibuat bagi meneruskan lagi usaha-usaha pemerkasaan mahasiswa yang melibatkan pelajar OKU untuk terus aktif melalui pelbagai aktiviti yang akan dirancang di masa hadapan.