PELAJAR OKU USM BUKTI KEMAMPUAN BERJAYA TERIMA BIASISWA YSD
12 Mac 2024 :- Seluruh warga Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM menzahirkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada Saudara Ryenaath A/L Ganesan, Pelajar Kurang Upaya (PKU) penglihatan tahun dua, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM atas kejayaan dipilih sebagai penerima biasiswa Yayasan Sime Darby bagi kategori YSD Special Needs Bursary.
Menceritakan pengalaman ringkasnya kepada Unit Media BHEPA baru-baru ini, beliau sangat berasa bangga dengan kejayaan ini kerana terpaksa melalui beberapa tapisan dan penilaian panel yang ketat. Sesungguhnya terdapat pelbagai cabaran dan prosedur yang perlu dilalui, dan beliau berjaya melaluinya dengan penuh keyakinan, ujarnya lagi.
Sebelum dinobatkan sebagai calon yang berjaya, beliau perlu melalui dua peringkat temu duga yang dikenali sebagai Screening Process/Background Check dan Final Interview. Bak kata peribahasa melayu “Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya”, Apabila keputusan temuduga diumumkan, beliau merasa sangat terkejut dan teruja kerana antara begitu ramainya persaingan hebat pemohon lain di luar sana, beliau telah berjaya dipilih sebagai salah seorang penerima biasiswa YSD.
Tambahnya lagi, apa yang membuatkan biasiswa YSD ini luar biasa daripada biasiswa lain adalah pelaksanaan YSD THRIVE – Rising Talent programme atau lebih dikenali sebagai #WeCare4U programme.
Di YSD, mereka sangat menitikberatkan akses pendidikan yang sama rata tidak mengira latar belakang penerima.
Program ini merupakan salah satu platform untuk melatih dan memberi pendedahan berkaitan pelbagai perkara termasuklah ‘soft skills, problem solving, mentoring sessions’ dan sebagainya. Semua perkara yang akan dipelajari nanti dapat diaplikasikan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
Walaupun beliau merupakan pelajar OKU, beliau tetap hadir dan mengikuti segala program yang dianjurkan oleh pihak YSD. YSD juga sangat bangga dan menjadikan beliau sebagai pelajar contoh kepada penerima lain.
Beliau seterusnya berharap agar kejayaan ini akan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar kurang upaya lain untuk terus gigih mengharungi cabaran kehidupan dengan positif dan percaya bahawa setiap ciptaan tuhan itu ada kelebihan dan ada kekurangan nya.
Beliau juga berharap kejayaan ini akan dapat memberikan impak yang positif dalam usaha kerajaan meningkatkan kebolehpasaran pelajar kurang upaya untuk turut sama mempunyai peluang dan bidang kerjaya yang sama seperti pelajar lain dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.